Manusia lazimnya tidak pernah puas akan kenikmatan dunia. Termasuklah aku, kalian dan semua seisi yang mendiami dunianya. Pernah tak kalian mendengar cerita, seorang lelaki di Australia yang telah memenangi tiket loteri sebanyak 1 juta dollar, dan kemudiannya jatuh papa semula, malah tidak boleh berdiri atas kaki sendiri semula, kerana sikapnya yang tamak dan boros.
Aku pun seperti orang lain juga, punyai impian, kehendak dan kemahuan, untuk itu dan ini. Tetapi, pabila memikirkan orang yang sentiasa di bawah kita, barulah keinsafan dan nikmat kesyukuran itu kita peroleh.
I am not trying to be so preachy here, but it is a fact. Just look upon the unlucky ones.
Di tempat kerja aku, aku selalu benar berbual, berborak dan bergebang dengan makcik" cleaner" tukang masak kantin, pengawal sekolah bila ada waktu kelapangan. Dan, cuba memahami dan meletakkan diri aku dalam diri mereka, tak terbayangkan betapa sukarnya nak meneruskan hidup.
Pernah suatu ketika pada musim cuaca yang cukup panas. Aku selalu mengomel kepanasan. Petang pula dengan kegiatan ko-kurikulum, tak tertahan pula rasanya.
" Harap-harap lah hujan hari ni, panas betul Malaysia sekarang ni " aku mengomel kepada mak cik tukang masak. Memulakan perbualan.
" Janganlah doakan macam tu, cikgu " katanya seperti merayu.
" Saya nak pergi menoreh ni, nanti habislah getah yang ditoreh, basah dek hujan, tak dapat pula duit 30 ringgit sehari tu " celahnya lagi tersengih sambil menampakkan gigi yang kuning.
Aku terlupa rupanya. Kesenangan yang kita minta, kesusahan pula yang diperoleh oleh mereka. Betapa aku pentingkan diri sendiri. Aku terlupa yang mak cik tukang masak ini selepas sahaja tugasnya di kantin, akan pergi menoreh pula sehingga waktu petang. Malamnya pula, mulalah menguli tepung untuk membuat kuih keria atau kuih pau untuk dijaja pagi esok.
" Mudah-mudahan, anak-anak saya nanti semuanya tak lupakan saya " katanya sayu, mengenangkan nasibnya suatu hari dulu.
Apa yang paling menggembirakan, anak sulungnya muncul pelajar terbaik SPM di sekolah menengah harian yang berhampiran. Bekas anak murid sekolah aku juga. Riangnya dan gembiranya. Syukur tidak terhingga.
Kenduri kesyukuran diadakan, umpama kenduri kahwin meriahnya. Guru- guru termasuk aku juga dijemput, tanda terima kasih kepada insan- insan yang pernah menyumbang sedikit sebanyak.
Anaknya bakal melanjutkan pelajaran dalam jurusan perubatan di Ireland. Alhamdulillah. Pada hari pertama, anaknya mendaftarkan diri di IPT untuk tahun persediaan, tangisnya hiba, rindu bertamu kerana tidak pernah berpisah jauh dengan anaknya.
" Dia tak pernah menyusahkan saya, kerja sambilannya baru-baru ni, diberikan wang gajinya kepada saya" ucapnya sambil menangis teresak-esak. Menangis dalam kegembiraan dan kesyukuran.
Alhamdulilah. Anak yang solehah yang tidak mudah lupa akan ibu dan ayahnya. Mudah mudahan juga dia berjaya. Dan, mudah-mudahan juga mak cik kantin aku akan ditambah kesenangan dan rezeki akhirnya. Dan, dia tidak perlu lagi mendoakan akan hari yang cerah dan terik, mengabdikan diri pada pokok-pokok tua hingga ke akhir waktunya.
Paling aku kenang jasanya, pada suatu petang aku tidak dapat pulang kerana bertungkus lumus dengan kelas tambahan sebagai persediaan UPSR. Tahu-tahu, petang itu anaknya mensuakan sia masakan dan lauk. Katanya emaknya berikan. Bila aku mahu membayar esok paginya, dia hanya menggelengkan kepala. Katanya, pahala memberikan makanan kepada orang yang berilmu.
You see, aku selalu mengomel drama cerekarama Melayu kita banyak yang melodramatik keterlaluan tentang kemiskinan dan kesusahan. Tetapi, hakikatnya, orang-orang macam ni masih ada dan hidup. Tentu sahaja jauh daripada mata kita. Tapi, bila aku bertugas sebagai seorang guru, i have seen many of them struggling, untuk kemajuan hidup.
Jimi, wise up, and be grateful and always count your blessings, ya.