Murid tahun 6 sudah pun menghabiskan sesi persekolahannya, bakal memasuki alam menengah pula. Keputusan UPSR pula telah diumumkan. Tapi, kehidupan bukan setakat mengumpul jumlah A atau kecemerlangan di atas kertas. Sebalik semua itu, terkandung pelbagai kisah kehidupan yang lebih istimewa. Aku mahu berkongsi kisah-kisah anak-anak aku sepanjang minggu ini. Moga kita peroleh sesuatu daripadanya.
Kisah 1 : Khairil
Anak seorang tukang kebun di sebuah agensi kerajaan di tempat aku. Anak orang yang susah, maklumlah majoritinya penduduk di tempat aku bertugas agak jauh daripada kesenangan.
Khairil datang bertukar ke sekolah aku pada awal tahun ini. Kata ayahnya, Khairil sebelum ini bersekolah di Setapak, Kuala Lumpur menetap bersama ibu saudaranya. Akibat kesusahan dan kemiskinan, hampir kesemua anak-anaknya yang besar,samada diserahkan kepada sanak saudara untuk dipelihara atau tinggal berjauhan di asrama. Anak-anak pak cik Zahir kesemuanya 10 orang.
Dan, kini dia kembali tinggal bersama keluarganya. Katanya, Khairil menjadi semakin pelik ketika tinggal di Setapak. Semakin menjauhkan diri, dan dia tidak lagi mahu bercakap dengan sesiapapun. Mungkin, kerana itu,Khairil perlu ada bersama keluarganya.
Saat dikatakan " pelik", aku pun tertanya-tanya bagaimana agaknya sikapnya yang pelik itu.
Khairil adalah seorang murid lelaki yang berbeza daripada teman-temannya. Sangat pendiam. Selalu tersenyum. Pabila waktu Pendidikan Jasmani, dia hanya mendiamkan diri di tepi padang, hanya memerhatikan kawan-kawannya bermain. Itulah yang aku perhatikan.
" Kenapa tak nak main?" tanya aku satu hari. Walaupun aku tidak mengajar pelajaran Pendidikan Jasmani.
" Saya tak minat sukan la, cikgu" dia menjawab. Berani dan berterus terang. Kalau murid lain pasti sahaja diberikan seribu alasan.
" Kamu mesti bersenam. Keluarkan peluh. Kan, kamu di tahun 6. Cergaskan otak. Tahun ni kamu nak periksa"
" Malaslah cikgu" katanya menjawab sambil tersenyum.
Itu sahajalah alasannya. Namun, aku tidak mendiamkan diri begitu sahaja. Takdir menentukan bahawa, pada hari sukan sekolah, Khairil merupakan ahli dalam kumpulan warna rumah aku.
Pabila, acara larian berganti terjadi peristiwa seorang murid terseliuh. Aku gantikan nama Khairil dalam acara itu.
" Kamu cuba ya! Tak menang pun tak pe. Janji kamu lari." Aku cuba memberikan motivasi.
" tak nak lah cikgu, saya tak kuat lari " Khairil menjawab. Berpuluh-puluh kali memujuk aku.
Akhirnya, dia menerimanya.
Terkejut aku. Bukan. Bukan aku sahaja yang terkejut. Semua murid dan guru yang berada di padang pada hari itu, Khairil berlari dengan laju dan memecut hingga ke akhir garisan.
Sumpah. Aku ternganga. Kagum dengan pecutan lariannya. Dalam hati, aku berkata " he is such mysterious in his own ways". Orang yang tidak minat sukan, tetapi lariannya mengalahkan atlit sekolah lain.
" ha, itu lah cikgu dah jampi , puh kiri, puh kanan, bagi khairil berlari macam kuda " aku memuji Khairil.
Dia hanya ketawa. Seorang cikgu sepatutnya " never under estimate " kemampuan muridnya. Pelajaran aku hari itu.
Kemampuan pelajarannya setakat biasa dan sederhana sahaja. Bagi subjek Bahasa Melayu Kefahaman dan Penulisan yang diajar oleh aku, setakat memperoleh C sahaja. Tetapi, aku percaya dia mampu boleh pergi jauh dari itu.
Aku letakkan dia di hadapan sekali, katanya matanya kelihatan kabur tidak dapat membaca apa yang tertulis di papan putih. Katanya juga, cermin matanya tertinggal di Setapak, tempat tingal lamanya.
Apa yang aku perhatikan, hanya teknik dan pemahamannya terhadap soalan dan cara menjawab, menyebabkan dia selalu mendapat keputusan sederhana. Setelah berbulan-bulan aku mengajar dan membimbing. Akhirnya, bolehlah dikatakan pencapaiannya sangat memberangsangkan.
Pada ujian pertengahan, Khairil mendapat A dalam dua subjek yang diajar oleh aku. Bagi subjek lain, sudah memperoleh C dalam Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris. Satu peningkatan mendadak untuk murid yang sentiasa merah dalam kad pelaporannya.
Aku dan cikgu-cikgu lain sependapat, dia boleh " menggapai angkasa" jika dia tahu potensi dirinya.
Dengan murid lain, kadangkala aku terpaksa berleter, merotan kerana degil dan malas berusaha. Tetapi, Khairil lain. Pukul 7 pagi, dia sudah sampai di sekolah, dan sudah berada di dalam kelas membaca buku atau membuat halnya sendiri.
Kadangkala, aku perhatikan dia suka berbual dengan pencuci bangunan. Dia berbual dengan mak cik kantin sekolah. Pabila dia malas mengikuti teman-temannya waktu Jasmani, dia sentiasa mengikut seorang pak cik, tukang kebun mencantas pokok rasberi. Entah apa sahaja yang dibualkannya.
Seperti lazimnya, keputusan tiga tertinggi , aku hadiahkan buku bacaan kepada mereka bertiga. Khairil menggondol tempat ketiga. What an achievement!.
Hari berganti hari. Bulan demi bulan. Akhirnya, peperiksaan pun tiba. Pada hari pertama peperiksaan, setelah aku selesai memimpin mereka dengan doa selamat bersama- sama. Aku lihat Khairil, menangis teresak-esak. Semua kehairanan.
Aduhai, kasihannya. Tekanan telah memuncak. Dia terketar- ketar ketakutan. Alahai, kasihan budak-budak zaman kini, tekanan peperiksaan sungguh membebankan.
Aku dan guru yang lain cuba memujuk. Pada diri aku sendiri, amat sukar sebenarnya kerana sifat aku jika terlihat orang menangis, aku mudah pula menangis bersama. Dan, situasi itu aku tidak mahu biarkan ianya berlaku.
Apa yang menakutkan, pada hari itu dia akan menjawab subjek Bahasa Melayu. Subjek yang diajar oleh aku. Parahlah, kalau tekanan menganggu tumpuannya.
Alhamdulillah, peperiksaan pun berjalan lancar. Begitu juga hari-hari seterusnya.
Dia aku lihat semakin ceria. Kadangkala aku lihat bermain bola sepak bersama-sama. Dan, kadangkala juga, aku lihat dia tidak bermain tetapi lebih suka berbual dengan mak cik kantin.
Ibunya pernah suatu hari mengadu kepada kami, guru-guru tahun 6 yang mengajar Khairil, supaya memberikan bimbingan. Dan, seperti yang dijangka air matanya menitis, mengenangkan kesusahan dan kemiskinan hidupnya,menjaga anak-anaknya yang ramai. Yang, Khairil dahulu terpaksa diserahkan kepada kepada orang lain. Mungkin kekesalan timbul, kerana kejauhan untuk melihat Khairil, dan pada akhirnya, Khairil dikatakan pernah dilihat tersenyum sendirian, ketawa sendirian, menangis sendirian malah bercakap sendirian.
Hah!, terkejut betul aku mendengarnya. Itu adalah tanda-tanda kemurungan. Apa yang aku pernah baca. Mungkin dia tidak gembira hidup berjauhan dengan keluarganya.
Khamis lalu, seperti yang kalian tahu. Keputusan peperiksaan telah pun diumumkan.
" Macam mana, Khairil?" tanya aku. Walaupun aku sebenarnya telah tahu keputusannya.
" Saya tak dapat 5A, cikgu' Jawabnya sedih tetapi sempat melemparkan senyuman yang pahit.
" La, okie lah tu. 3 A 2 B. Ha, 2 subjek kamu dengan cikgu kan dapat A. Alhamdullilaah." Jawab aku sambil memujuk.
" Ini apalah sangat, baru sekolah rendah. Nanti banyak lagi cabaran bila kamu masuk sekolah menengah, PMR dan kemudian SPM pula, masuk universiti, setiap hujung semester ada sahaja exam. Nanti, suka hati kamulah kamu nak dapat A banyak mana."
Dia mula menitiskan air mata. Sudah, jangan pula aku yang menangis mengikut nadanya.
"Tak pe, yang penting apa?" tanya aku.
"Yang penting apa" ? tanya aku sekali lagi.
" Chai Yo" jawabnya.
" Ha, bagus. Itu semangat yang cikgu nak."
Chai Yo adalah kata inspirasi aku berikan kepada semua anak-anak murid aku. Chai Yo bermaksud " berusaha " dalam bahasa Cina.
" Apa dia, jawab dengan semangat sikit"
" Chai Yo" katanya sambil memegang buku lima tangannya, seperti yang dibuat selalu oleh anak-anak murid aku. Cuma tersenyum sambil menyeka air matanya.
Semalam, adalah hari terakhir persekolahan. Murid murid tahun 6 pun bersalam-salaman dengan guru-guru termasuklah aku.
Aku lihat Khairil sudah menangis bersalam-salaman dengan cikgu yang lain. Yang mengkagumkan, ibu dan bapanya turut sama bersalam, sambil mengucapkan terima kasih kepada aku dan guru-guru yang lain.
Aku sempat menasihatkannya supaya belajar bersungguh, yang penting apa-apa sahaja yang dilakukan mestilah dilakukan dengan " chai yo".
Ketika aku mahu meninggalkan sekolah, aku terlihat Khairil sedang bersalam dengan
1.Uncle Muniandy, jaga sekolah sambil mencium tangannya.
2. Mak Cik Siah, pencuci bangunan sekolah sambil menangis teresak-esak
3. Kak Timah, mak cik tukang kantin
4. Pak Tam, tukang kebun sekolah
How thoughtful. Orang lain hanya mempunyai kawan - kawan sebaya. Tetapi, Khairil mempunyai kawan-kawan daripada usia yang berbeza. Masih terbayang, dia yang sentiasa mengikut Pak Tam mencantas pokok sambil berbual tentang semua hal.
Khairil. He is one of a kind.
Lupakan 5 A yang diberikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia. Aku berikan dia
A for his Humility
A for his Humbleness
A for his Determination
A for his Perseverance
A for his Friendliness
A for his Courage
A for his Dedication
A for his Friendship
A for his inner Beauty Spirit
A for his Personality
10 As. That’s all that matters. May you be fly higher above the sky, You can reach the stars if you want to, Khairil. Chai Yo.
