Menjadi remaja dan peralihan kepada alam dewasa umpamanya seperti belajar memandu. Saat dan ketika itu, kita sedar kiranya kita dapat memandu dan memiliki lesen memandu, kita menyedari kita sudah memasuki alam dewasa. Dan, inilah premis filem Driving Lessons.
Kita punyai kebebasan, percaya dan yakin yang kita boleh memecut laju pandu kereta ke angin laju. Barangkali, inilah yang mahu diungkapkan oleh sutradara filem Driving Lessons ini.
Ia masih lagi dalam kelompok filem remaja, tentang seorang remaja yang keliru atau buntu tentang arah hidupnya. Filem yang digarap dalam bentuk komedi, dan menceritakan tentang sebuah persahabatan yang unik dan pelik. Bagaimanakah persahabatan itu diuji dan kejujuran akhirnya terserlah di hujung filem ini.
Dibesarkan dalam famili yang tegas, kerana ayahnya seorang paderi dan ibunya yang sentiasa mengongkong setiap saat hidupnya. Apa yang dimahukan untuk dirinya sendiri ialah, belajar memandu. Tetapi, ia seperti sangat mustahil kerana sering dibelenggu dengan leteran dan peraturan hidup yang diputuskan oleh ibunya.
Sehinggalah suatu hari Benjamin atau Ben memberanikan diri dengan bekerja sambilan di sebuah rumah, menjadi pengasuh kepada wanita tua. Wanita tua itu yang suka mencarut, memaki dan punyai seribu kelemahan yang boleh difikirkan oleh Ben. Tetapi, kebencian itu bertukar kepada persahabatan apabila Ben mengubah perspektif dan pendapatnya tentang wanita itu.
Wanita tua itu memahami kegemarannya tentang buku dan puisi. Dan,, bermulalah episod pelajaran puisi dan bacaan buku. Tentang pengalaman hidupnya sebagai seorang pelakon dan sehingalah tips kepada Benjamin cara-cara memikat wanita!
Malangnya, aktiviti " kotor" yang dituduh oleh ibu Ben menyebabkan sekali lagi Ben terpaksa memilih pilihan ibunya. Dituduh perosak moral, wanita itu diberikan amaran tidak menghampiri Ben.
Tetapi, mungkin kerana persahabatan itu terlalu jujur dan murni, Ben dan wanita tua itu merancang satu desinasi perjalanan di mana buat kesekian kalinya, Ben BOLEH MEMANDU sepanjang perjalanannya.
Apa yang disifatkan sebagai sebuah destinasi dan perjalanan, telah menjadikan perjalanan Ben sebuah transformasi perspektif hidup Ben yang baru.
Yang paling mengejutkan ialah lakonan Rupert Grin, ya nama itu agak biasa jika kalian arif dengan lakonannya dalam siri Harry Porter. Memegang watak teman kepada Harry Porter, bukanlah watak yang luar biasa atau mampu menyerlahkan kerjayanya. Dan, menerusi filem Driving Lessons ini, Rupert Grin seperti berjaya mengeluarkan diri daripada kepompong stereotaip Harry Porter, dan untuk kali ini lakonannya lebih menyerlah.
Julie Walters yang memegang watak sebagai wanita tua, seperti biasa sentiasa cemerlang dalam setiap filem – filem lakonannya. Mungkin, watak ini agak mudah untuk dijayakannya, apatah lagi wataknya tentang pelakon veteran yang telah meninggalkan zaman kemahsyurannya.
Pelakon Amerika Laura Linney, sekali lagi dengan obsesinya menjadi wanita Inggeris yang kolot dan membosankan sebagai ibu kepada Benjamin lakonan Rupert Grin. Walaupun, watak itu agak satu dimensional dan bersifat stereotaip, wataknya itu berjaya dilakukan dengan baik.
Driving Lessons sebuah filem indie yang berjaya sekalipun tema dan subjek serta jalan ceritanya agak biasa. Peralihan alam remaja ke alam dewasa, dan kekeliruan mencari titik kedewasaan itu selalu benar dipaparkan dalam filem-filem lain. Mungkin ia sebuah filem yang baik buat mereka yang menghargai bakat lakonan muda Rupert Grinn, dalam menghidangkan sesuatu yang segar.
Evie Walton: ( to Ben) You see an attractive woman, living on her own, you wonder: Is she a roaring lesbian? Answer, no! For your information I was married three times. Once to an actor, once to an English lord and once to a Californian. All work things.... My mistake, You on the other hand, might well be gay.
Labels: filem