Wednesday, July 18, 2007
|
Duri Berduri
|

Waktu musim buah-buahan begini, rezeki buahan semakin murah dan mengenyangkan. Hakikatnya, jika bertugas sebagai seorang guru di desa tercinta, pasti inilah saat dan ketika yang ternanti-nantikan.
Buah-buahan yang bermusim dan berbuah di desa, kadangkala rezekinya melimpah ruah. Kerana sayangkan atau kasihkan guru-guru, anak-anak murid sentiasa sahaja mahu menghadiahkan buah - buah ini kepada guru-guru mereka.
Saban hari. Aku ulang semula. Saban hari ada sahaja yang memberi. Dan, situasi ini sudah berlangsung selama dua minggu. Sejak musim buah melanda negara kita.

Rambutan. Durian. Manggis. Paling popular , tidak lain tidak bukan raja segala buah. Buah yang berduri. Malangnya, Jimi bukan peminat buah ini. Mencium baunya sahaja sudah memeningkan kepala. Buat Jimi, buah ini amat tidak disukai, malah buah ini dilarang sama sekali berada di dalam kereta aku selama mana aku hidup. [ Yes, iam over reacting] Keluarga aku, memang sejak azali mengenali bahawa aku bukanlah peminat setia buah itu.
Tetapi, anehnya jika buah itu telah dijadikan kuah [ bubur], atau gulai tempoyak, berselera juga aku menikmatinya. Mungkin kerana baunya yang kuat itu sangat merungsingkan kepala malah seluruh badan aku untuk menikmatinya. Mungkin kerana melihat orang memakannya menyebabkan aku geli dan jelak untuk menikmatinya.
Sindrom ini sudah lama berjangkit sedari kecil lagi.
Ah, lupakan alergi aku pada buah berduri ini. Jadi, hanya buah rambutan dan manggis dapat ku nikmatikan keseluruhannya. Rakan-rakan setugas aku sesekali menyindir aku adalah amat sukar mencari bakal isteri yang tidak sukakan durian seperti aku. Tidak habis-habis aku disindir. Pasrah sajalah telinga aku menahan sinidiran dan gurauan sedemikian.

Pernah suatu hari, seorang penduduk desa telah bersedekah dengan membawa durian dan buah manggis memenuhi kereta Unser, untuk diberikan kepada warga sekolah dinikmati oleh anak murid dan juga guru. Bayangkan, satu sekolah menikmati dan terus menikmati. Kemesraan terlahir dan tercipta. Tak habis makan di sekolah, dibawa pulang pun berplastik-plastik.
Mak Cik Kantin, pada suatu hari menyediakan bubur durian yang begitu enak sekali dicecah dengan roti. Alangkah nikmatnya.
Mungkin pengalaman menikmati buahan tempatan ini tidak mungkin dapat dirasai sekiranya aku seorang guru yang bertugas di kota kosmopolitan. Mungkin, saat itu anak murid membelanjakan pizza kegemaran aku pula.
Kadangkala, kebahagiaan dan kenangan sebegini yang menyebabkan aku sayangkan dan kasihkan kerjaya aku. Orang - orang desa masih tahu menghargai guru lagi.Labels: desert |
posted
by Jimi Wiser @ Wednesday, July 18, 2007

|
|
|
|