Thursday, May 17, 2007
|
Cikgu Jimi II
|

hadiah penuh satu ruang bonet kereta
Bagaimana kita ingin mengetahui anak-anak didik kita sayangkan gurunya?
Tengok sajalah pabila tiba Hari Guru, yang paling banyak sekali mendapat hadiah, pasti itu guru yang disukai.
Jika dilihat apa yang ku terima hadiah-hadiah pada Hari Guru, apakah aku boleh mendabik dada, bahawa murid-murid sayangkan aku? Entahlah, aku pun tidak berani menjawabnya. Kerana pilihan itu datangnya dari murid.Citarasa kanak-kanak hakikatnya berlainan, dan mereka adalah manusia yang ekspresif. Kalau suka mereka katakan suka, jika tidak mereka akan katakan sahaja. Kerana tiada istilah political corectness di hati mereka.
Penuh jugalah satu ruang menyimpan di belakang keretaku, dengan hadiah-hadiah yang diterima. Disindir pula oleh guru-guru yang lain, perlu tak sistem penghantaran lori untuk membawa kesemuanya? Aku tersenyum bahagia.
Aku tahu ini klise. Aku selalu memesan anak muridku, tidak usah membeli hadiah. Berikan sahaja kad ucapan hari Guru buatan sendiri. Aku tetap menghargainya.

paling susah membukanya, mereka melampau meletak gam berlebihan
Pada setiap Hari Guru, kebiasaannya sekolah aku mengadakan undian Anugerah. Anugerah-anugerah yang dibuat sebagai tanda terima kasih kepada guru-guru. Paling mutlak hadiahnya adalah Guru Paling Popular. Undian ini dipangkah oleh murid-murid semuanya.
Maaf untuk mengecewakan kalian semua. Tidak, aku tidak pernah memenangi anugerah itu. Kerana guru itu sudah tiga tahun menyandangnya saban tahun. Guru itu juga memenangi Anugerah Bapa Penyayang. Tiada kritikan atau irihati. Beliau memang bagus. Kan bagus, jika memiliki aura sepertinya.
Tapi, aku berjaya menduduki tempat kedua dalam pungutan undian tersebut. Kadangkala, rasa tidak percaya, kerana Jimi terkenal sebagai seorang guru yang tegas. Itulah, boleh menduduki tempat kedua pula. Lagi bagus, Clay Aiken lebih bagus dari Ruben Studdard, bukan?
Apa yang membanggakan aku memenangi sebuah anugerah yang tidak disangka-sangkakan;
anugerahnya ialah: Cikgu Paling Disayangi
Falsafah Jimi. Tegas mesti . Kritik terhadap sikap. Bencikan sikap negatif mereka. Jangan bencikan diri mereka. Buat jenaka sebanyaknya tetapi pastikan tumpuan dan fokus mereka terhadap pelajaran disematkan dahulu. Kemudian, pasti mereka ketawa malah akan menyanyi bersama-sama.
Sesekali, buatlah lawak-lawak iklan, seperti jika mereka menjawab soalan dengan perlahan yang tidak bermaya. Tanya pada mereka " kenapa?tak makan nasi ke? " (buat over sikit seperti dalam iklan KFC itu) pasti mereka ketawa mengilai.
Jangan kedekut. Selalulah menghargai mereka dengan pujian. Biar mereka bangga dan rasa disayangi. Beri hukuman jika mereka bersalah dan beritahu mereka kesan dan mengapa perlu diberi hukuman. Tetapi, jangan sesekali menyalahgunakan hukuman itu. Jangan beremosi keterlaluan. Biar mereka sendiri yang menjawabnya
" Cikgu hukum kamu, kenapa?"
" Sebab cikgu sayangkan saya."
kad - kad yang telah kusimpan dalam album mengikut tahun Paling aku suka membaca kad-kad ucapan yang direka mengikut kreativiti masing-masing. Kadang-kadang, kesalahan ejaan itu yang membuatnya seperti seronok dan tersenyum sendiri, dan ia kelihatan begitu unik dan klasik sekali.
Aku tersenyum apabila membaca sebaris ayat ini
Saya ucapkan cikgu hidup bahagian, ini dibagi oleh Razli.
Aku menitiskan air mata apabila membaca kad ini
Saya ingin melihat cikgu gembira selalu.
Dan, paling menyedihkan, seorang murid yang miskin latar belakangnya hanya dapat memberikan sekeping kad buatan yang direkanya sendiri. Katanya-katanya sungguh mengusik perasaan
Ini sahaja yang saya ada. Terselit sebatang pen merah.
"saya ingin melihat cikgu bergembira selalu" Aku tidak pasti dengan guru-guru yang lain. Kad-kad itu akan aku baca di bilik bersendirian. Kerana, aku mudah tersentuh hati. Nanti, habis bercucuran air mata dilihat murid-murid. Bila ku baca, aku cuba tatapi betul-betul penulisnya. Mengingatkan wajah-wajah comel yang selalu bertakhta di hati.
Kad-kad ini kusimpan dengan baik dan cermat. Aku tampalkan secara kolaj dalam album gambar. Kulit hadiah yang berwarna-warni itu ku gunting, Juga ku tampalkan beserta dengan kad ucapan mereka. Sudah tiga tahun ku lakukan tradisi ini. Aku tak pasti berapa buah album akan kukumpulkan sekiranya tamat kerjaya aku sebagai guru nanti. Sudah memiliki tiga buah, dari Hari Guru ketika bertugas di sekolah menengah lagi!.
Dan, ada juga yang menghargai ketegasan, dan melihat itu sebagai sebuah kasih sayang:
Saya sayangkan cikgu. Walaupun cikgu tegas tetapi suka membuat lawak. Saya sayangkan cikgu, saya harap cikgu tidak bertukar, dan mengajar saya sampai saya berada di tahun 6.
Labels: laments |
posted
by Jimi Wiser @ Thursday, May 17, 2007

|
|
|
|