Sometimes stopping is the most important part of the journey...
Begitulah tagline filem ini. Judulnya bertajuk Snow Cake. Jenuh juga aku mencari jargon atau istilah Americanization jika pernah tersua di buku, tv atau filem sebelum ini yang sama seperti Snow Cake. Rupa-rupanya, Kek salju ini sangat penting dalam penceritaan filem ini.
Persinggahan itu walaupun untuk seketika, hakikatnya telah mengubah kehidupan Alex Hughes. Alex yang baru sahaja keluar daripada penjara, sedang dalam perjalanan ke satu destinasi penting buat hidupnya. Sedang dia berehat seketika di sebuah perhentian sambil menikmati secawan kopi dan sebuah buku. Dia ditegur oleh seorang anak perempuan muda, Alex sebenarnya keberatan untuk mencari teman bual. Tetapi, seperti ada sesuatu yang menyebabkan Alex mahu menolong Vivienne dengan menumpangkannya ke satu tempat.
Ketika ditanya Alex, mengapa memilih dirinya sebagai teman satu kereta. Tidakkah dia takut sekiranya dia adalah bekas pembunuh(sambil bergurau). Vivienne kata, dia ada cita-cita. Dia mahu menulis sebuah novel. Novel yang sedih dan puitis tentang kehidupan seorang yang sunyi. Dan, dia memilih Alex kerana dia berasa ada sesuatu yang menarik tentang dirinya.
Perbualan menarik itu terhenti. Terhenti bukan untuk sementara tetapi untuk selamanya. Kereta yang dipandu Alex dilanggar lori dan Vievienne mati dalam keretanya.
Terhenti seketika perjalanannya. Terhenti seketika nadinya. Terhenti seketika untuk semua perkara. Alex bingung memikirkan kesemuanya.
Perkara pertama yang ingin dilakukannya ialah menemui ibu Vivienne. Mahu melutut atau meminta maaf kerana menyebabkan Vivienne kesayangannya mati dalam keretanya sedangkan dia masih hidup. Ya, itu yang akan dilakukannya.
Pabila berada di pintu rumah ibu Vievienne, dengan menangis dan sebak Alex meminta maaf bahawa Vivienne telah mati akibat kesalahannya sungguhpun itu bukan salahnya. Ibunya, Linda seperti mendengarnya bersahaja. Tiada reaksi yang sepatutnya seorang ibu menenangkan emosinya pabila mengetahui anaknya sudah tiada lagi.
Rupanya, Linda adalah seorang autism. Linda benci orang membawa basah dan kotor atas lapik kakinya. Linda benci orang memakai haruman yang pelik. Linda seolah anak kecil. Linda paling benci orang asing datang ke rumahnya. Linda paling benci jika tiada siapa membuang sampah pada setiap hari Selasa yang selama tugas ini dilakukan oleh anaknya Vievienne.
Perkenalan Alex dan Vievienne yang tidak semena dan disengajakan itu akhirnya menjadikan sebuah persahabatan yang unik. Alex seperti mengenali dunia Vievienne dan rindukan persahabatan itu. Paling tidak, Alex dengan rasa bersalah mahu tinggal di rumah Linda kerana simpati akhirnya mereka menjadi kawan yang akrab.
Linda mahu Alex tinggal dengannya kerana memikirkan tiada siapa yang sanggup membuang sampahnya pada setiap hari Selasa kerana selama ini, Vivienne yang melakukan kesemua itu.
Rasa seronok, puas dan pelbagai emosi wujud ketika menonton filem Snow Cake ini. Tegasnya, aku merasakan ini adalah sebuah filem yang baik dalam senarai filem pilihan aku dan terbaik ditonton untuk tahun ini. Sangsi juga dengan terlalu banyak sentimen Autism dan banyak filem-filem yang menghidangkan kisah sebegini. Malah, aku senang sekali menonton filem ini yang cukup rempah ratusnya.
Seperti Little Miss Sunshine, ini adalah sebuah filem yang mungkin anda tertawa sendirian, anda juga rasa sebak pada masa yang sama anda tidak tahu untuk memilih samada untuk ketawa atau menangis. Kerana humornya filem ini seperti bercampur baur dengan sentimentaliti yang cukup mengharukan. Ini juga adalah sebuah filem bagi kalian yang suka meneliti, mengamati setiap dialog, kerana setiap dialog yang diungkapkan seperti mengajar atau mendidik kita satu atau dua tentang hidup.
Perdebatan tentang pelakon-pelakon yang suka menggunakan karakter berlakon sebagai seorang Autisme sebenarnya bukanlah kali pertama dilakukan. Banyak benar hakikatnya. Filem Rain Man adalah sebuah filem yang paling popular tentang autisme. Kerana itu juga, seperti tuah sesiapa sahaja yang boleh melakonkan watak-watak sedemikian mungkin dia akan dinobatkan atau mungkin dinominasi sebagai yang terbaik Oscar.
Fakta: Dustin Hoffman menang anugerah Oscar untuk watak autism itu dalam filem Rain Man.
Jadi, kalian mungkin dapat merasakan betapa klise nya jika seorang pelakon mahu melakonkan watak-watak sedemikian kerana mahu diiktiraf sebagai pelakon yang berkarakter. Tetapi, lupakan itu semua. Ini adalah filem yang anda kagumkan barisan pelakonnya yang cukup handal, dan ya anda mungkin bersetuju bahawa kehebatan Sigourney Weaver masih bertaring lagi.
Sigourney Weaver pemenang anugerah Oscar menerusi filem Gorilla In The Mist ini memang dikenali dengan kehebatan lakonannya. Masih tidak kenal lagi? Ya, dialah wanita dalam tiga siri Alien itu. Sigourney yang memegang watak sebagai Linda, wanita yang seperti kebudak-budakan, sukakan bola berkilat, obses kepada kebersihan ini mempunyai gaya dan pembawakan watak yang unik dan tersendiri. Ya, semua tentang kehebatan beliau sangat betul dan tepat.
Alan Rickman yang memegang watak sebagai Alex Hughes sangat berjaya. Muka selamba yang poyo ini seperti kena dengan wataknya. Raut wajahnya mempunyai misteri di sebalik kedukaannya. Ceritanya bagaimana dia dipenjara kerana sayangkan anaknya sangat mengharukan.
Ya, ini adalah sebuah filem yang akan aku tonton berulang kali tahun ini. Sebaris dengan Little Miss Sunshine.
Info: 1. Sigourney Weaver untuk menjayakan watak ini menghabiskan masa bersama seorang wanita autism yang bernama Rose Blackburn di England. Kebanyakan gaya, bahasa tubuh banyak dipinjam oleh Sigourney Weaver melalui wanita ini.
2. Penulis bagi filem ini Angela Pell, mempunyai anak yang autism. Kebanyakan daripada kegilaan "idiosyncrasies" Linda ada pada anaknya.
(Sumber: IMDB.com)
Salah sebuah adegan yang sangat aku gemari, oh jika anda mahu mengetahui makna Dazzlious:
Bagaimana
mahu merungkai JIMI?. Pada DNA nya, kelakuannya, sifat mazmumah
atau mahmudahnya?. Mungkinkah JIMI itu sebuah ciptaan, atau
persepsi bagi sebuah realiti? Jujurkah atau hipokritkah JIMI,
tetapi bukankah semuanya begitu?. Mari mendalami JIMI.. ::Mengapa
Jimi menulis? ::Di
sebalik wajah