Sunday, April 15, 2007
|
After This Our Exile
|

Jika ada bintang Asia yang menyerlah untuk dilihat pada tahun ini adalah lakonan Aaron Kwok menerusi filem After This Our Exile. Mungkin Aaron sudah berkecimpung dalam seni hiburan Hong Kong atau Taiwan lebih 20 tahun, tetapi inilah kali pertama aku menonton lakonannya yang penuh bergaya, tersendiri malah membuang segala beban glamor dan populariti yang selama ini dipikulnya. Rasa lega, mungkin kerana barulah kali ini orang ramai dan pengkritik filem memuji lakonan beliau yang sangat memberangsangkan.
Dia sudah pun memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem ini. Maka, mungkin kalian bertanya; Apakah yang hebat tentang filem ini?
Filem ini adalah sebuah naskah arahan Patrick Tam yang selama ini sangat disegani oleh pembikin-pembikin filem Hong Kong dan Taiwan. Kebanyakan pengarah Hong Kong dan Taiwan menyifatkan beliau adalah seorang guru yang banyak mengajar tentang seni pembikinan filem. Patrick Tam sudah sekian lama tidak mengarahkan filem. Apatah lagi, ini adalah sebuah filem yang diarahkannya setelah 17 tahun tidak mengarah. Dan, filem ini telah pun mendapat perhatian dan menewaskan Gubra dan beberapa filem asia yang lain dalam sebuah Festival Filem sebelum ini.
Yang menariknya ialah, filem ini dibikin dan dirakamkan lokasi sepenuhnya di Malaysia. Oh ya, Ipoh sekali lagi menjadi pilihan pembikin-pembikin filem. (Ang Lee memilih Ipoh dalam filemnya Lust Caution). Jadi, sekali lagi kita dapat melihat sekali lagi visual dan interpretasi yang berbeza jika dibandingkan dengan pengarah - pengarah tempatan yang seperti tidak mampu dan dapat merakamkan " kecantikan" lokasi di negara kita

Kisahnya cukup sederhana. Dan , cukup sesuai dengan gaya cerita filem-filem indie (jika anda serasi dengan gaya filem indie: seperti perjalanan cerita yang perlahan, shot kamera berbeza, lakonan bersahaja dan bahasa muzik dalam filem yang berbeza.)Untuk sesebuah filem indie, filem After This Our Exile bolehlah aku sifatkan sangat menghiburkan.
Kisahnya bermula apabila seorang ibu muda sibuk menguruskan anaknya yang akan pergi ke sekolah. Dia seperti cuba memastikan pagi itu cukup sempurna buat anaknya. Segalanya diberi perhatian dengan teliti. Dia juga sempat menyuruh jiran menangkap gambar bersama anaknya. Situasi menimbulkan keraguan kepada anaknya.
Anaknya merasakan ada sesuatu hal yang tersembunyi. Rupa-rupanya, ibu mahu melarikan diri, meninggalkan dirinya dan ayahnya. Anaknya sempat memberitahu kepada ayahnya. Percubaan untuk melarikan diri tidak berjaya. Tetapi, si ibu sekali lagi cuba melarikan diri dan akhirnya berjaya.
Si ibu mahu meninggalkan kehidupan yang pahit dan pedih. Suaminya hanya mahu berjudi dan membazirkan duit tanpa memikirkan perasaannya atau anaknya.Dia juga sudah bosan asyik dijanjikan kebahagiaan dan kesenangan tetapi tidak memperoleh kesemua itu. Tetapi, itu tidak bermakna si suami tidak pernah mencintainya. Pasrah, isteri sudah nekad dan sanggup meninggalkan anak kesayangannya.
Keadaan itu menyebabkan si ayah hilang punca dan menyedari dirinya sudah ditinggalkan. Kehidupan mereka berdua menjadi semakin celaru hingga si anak berasa dirinya terbiar keseorangan. Sungguhpun demikian, walaupun begitu anak itu masih sayangkan ayahnya meskipun ayahnya masih dengan tabiat berjudinya itu.
Sehinggalah keadaan menjadi semakin kelabu, apabila ayahnya sering dikejar penuntut hutang. Si ayah memaksa anaknya mencuri. Mencuri untuk melangsaikan hutang-hutangnya.
Seperti yang telah aku tuliskan, ini bukan lakonan yang menampakkan kekacakan Aaron Kwok. Entah bagaimana, mukanya digelapkan sedikit yang berjaya menimbulkan kelainan. Dan, tiada tarian-tarian comel seperti yang anda tonton dalam filem Para Para Sakura. Tentu sahaja setiap pelakon mahu menjadi pelakon berkarakter dan meyakinkan seperti ini. Dan, hasilnya mungkin Aaron Kwok tidak lagi dipandang sebelah mata setelah tiga daripada saingannya (Four Heavenly Kings; Andy Lau menerusi Infernal Affairs, Leon Lai menerusi Three dan Jacky Cheung menerusi July Rhapsody dan Jiang Hu) sudah membuktikannya dalam filem-filem mereka sebelum ini.
 Filem ini adalah sebuah filem yang sentimental. Bergerak perlahan dan watak-wataknya dikembang begitu baik. Seperti filem-filem indie yang lain, metafora dan perlambangan dalam bahasa filem digayakan dengan begitu berbeza. Ini jelas dibuktikan pada awal filem dengan bayangan anak yang bermimpi hidup bahagia, berbasikal dengan ayahnya pada satu hari yang cukup indah. Hanya selepas itu, anaknya itu sedari bahawa itu semua mimpi. Dan, dikejutkan dengan kejadian ibunya yang mahu melarikan diri daripada mereka berdua. Semakin menonton dengan mendalam dan jauh ke tengah dalam filem ini, aku menyedari hidup si ayah dan anaknya tidak seindah yang difikirkan atau dijangkakan. What a tragedy. Tetapi, yang mengharukan bagaimana pabila kesusahan dan keperitan itu mendatang, si anak tetap bersama ayahnya dan menyayanginya sebalik apa yang dibenci tentang sikap ayahnya itu. Adakah itu definisinya bagi terma Unconditional Love seperti yang aku selalu dengar sebelum ini?.
Yang paling mengejutkan aku, Patrick Tam memilih lagu - lagu Melayu menjadi latar pencerita emosi watak-watak dalam filem ini. lagu Patah Hati nyanyian Sudirman sebagai pencerita kepatahan dan keremukan hati ayahnya dalam menjalani kehidupannya apabila ditinggalkan oleh isterinya. Sesekali juga, terdengar lagu nyanyian Shima yang entah sudah lama tidak kudengar sebelum ini. Dan, entah bagaimana aku rasakan penggunaan lagu-lagu asing ini begitu cocok seperti mana Yamin Ahmad memanipulasikan lagu-lagu asing dalam filem-filemnya, yang akhirnya menimbulkan mood yang berlainan dalam jiwa rasa sesebuah filem itu.
 Apa yang mengkagumkan aku ialah, menonton lakonan bintang kecil Geow Ian Iskandar yang memegang watak sebagai anak yang sentiasa disisihkan dan dibiarkan. Lakonan itu cukup menuntut pengertian dan dedikasi yang kuat. Penyampaian emosi nya berjaya dan natural berbanding watak-watak anak kecil yang sering anda tonton dalam filem Bollywood sebelum ini. Apa yang menarik, adalah kepentingan wataknya sebagai penyambung keseluruhan jalan cerita filem tersebut. Maka, tidak hairanlah dia juga telah memenangi anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem ini. Mungkin, dia bakal menjadi pencabar Dakota Fanning?
Filem ini mungkin mengajar kita tentang kasih sayang yang tidak berbelah bahagi dan tidak bersyarat antara ayah dan seorang anak. Filem ini juga mengajar kita supaya memikirkan akibatnya jika mempunyai hidup yang yang tidak berpandu, hanya mengikut arah angin yang mengakibatkan, akhirnya anak sendiri menjadi binasa dengan pengaruh jahat. Fikir semula, jika anda mahu melahirkan seorang lagi manusiawi yang akhirnya menyalahkan diri kita kerana tidak mendidik tentang kemurnian hidup itu sendiri.
(Aku terbaca bahawa dia (Geow Ian Iskandar) sebenarnya adalah rakyat Malaysia, dan aku tidak pasti kesahihannya. Hopefully it is true)
Tonton pembukaan filem ini, yang sangat mengasyikkan
Trailer filem After This Our Exile
Lagu promosi filem After This Ou Exile (perhatikan bagaimana indahnya Malaysia dirakamkan)
Labels: filem |
posted
by Jimi Wiser @ Sunday, April 15, 2007

|
|
|
|