Saturday, March 10, 2007
|
Children Of Men
|

Secara peribadinya, Jimi tidak berapa menyukai tema filem yang melatarkan kehidupan pada masa akan datang. Kalian bisa sahaja tahu filem-filem begini seperti Star Wars atau yang sepertinya. Aku prejudis dengan masa depan yang dicadangkan oleh filem-filem itu. Bagi aku, ianya telah kehilangan ' realiti' yang hakiki. Tapi, bagi penggemar filem, mereka menakrifkan ia sebagai sebuah sci fi. Jadi, seperti selalunya aku menjauhkan diri daripada genre-genre begini. Ataupun, filem-filem yang melibatkan makhluk asing. Kali terakhir, aku harus mengatakan aku menggemari The Forgotten, itupun kerana aku bias dan suka kepada lakonan Julianne Moore.
Tetapi, adalah berbaloi jika aku mengatakan, Children of Men adalah salah sebuah yang berada dalam kelompok genre sedemikian- mengaitkan pasca masa depan dunia yang tidak menentu. Dan, menceritakan bagaimana komuniti manusia berperang dengan segala jenis halangan yang mungkin agak mustahil jika ianya berlaku pada masa kini.

Filem ini adalah sebuah adaptasi daripada buku P.D James, mengisahkan tentang kehidupan dunia yang barangkali menemui penamatnya atau kiamatnya yang berada hampir dengan kehancuran. (Kadangkala, Jimi merasakan orang barat yang obsesi dengan kehancuran dunia semenjak ramalan nostradamus lagi). Pengarah dari Negara kelahiran Mexico; Alfonso Cuaron berjaya menghasilkan apa yang aku sifatkan ' realiti' daripada genre filem-filem sedemikian.
Barangkali, mungkin kerana naskah novelnya yang bersifat begitu. Ia tidak meninggalkan emosi manusia dan berjaya melakarkan penderitaan dan situasi yang real dan nyata – apa yang disifatkan kehidupan manusia pada 2027, yang mana manusia tidak boleh lagi melahirkan anak, manusia semakin susut ( agak kontradiksi dengan fakta yang mengatakan populasi manusia semakin bertambah malah dunia menjadi semakin padat).
Sebalik masa dunia kini, bayi-bayi boleh dibuang merata-rata.(ketamadunan manusia tinggi kononnya) tetapi dalam file mini, bayi itu sangat bernilai nyawanya dari berlian yang ingin dimiliki oleh korporat barat dalam Blood Diamond, bayi itu harus diselamatkan.

Pada saat dan masa itu, Children of Men bagaikan mengkritik kerajaan yang gagal berfungsi. Pengaruh totalitarian seperti tidak mampu membekalkan kuasa jana elektrik malah perkara asas yang lain. Wira sejati Theo (lakonan Clive Owen) dan teman-temannya cuba menentang segalanya untuk menyelamatkan bayi tersebut.
Apa yang menarik tentang Children of Men, ialah bagaimana lanskap sinematografinya dicipta dengan penuh mendalam. Ia menceritakan latar cerita yang relevan. Satu lagi yang bagus tentang Children of Men adalah kesinambungan aksi dan hubungkait dengan teknikal yang sangat mengkagumkan. Bagi mereka yang suka kepada adegan aksi, mereka pasti akan terpukau.

Children of Men adalah sebuah filem yang menghidang sebuah masa depan yang pesimis yang membawa kita meracau dan merayau ke dunia itu dan memikirkan betapa dahsyatnya jika terjadinya sedemikian rupa. Malah, Jimi tidak dapat menyangkal Children of Men mempunyai struktur yang cukup sinikal dengan tema-tema politiknya, rebellism dan establishment nya. Jika itu yang anda lihat lapisannya.
Tapi bagi mereka yang lain, mungkin melihatnya sebagai just another depressing action movie.
Sejujurnya, aku menonton Children of Men ini pada awalnya hanya kerana ada nama Julianne Moore. Tetapi, aku lega kerana mengetahui filem ini bukan sekadar just another action movie yang penuh dengan letupan demi letupan.
Labels: filem |
posted
by Jimi Wiser @ Saturday, March 10, 2007

|
|
|
|