Jangan keliru. Filem muzikal sudah lama wujud. Jika kita tonton filem-filem lama buatan Hollywood, kita akan tahu heronya seperti Elvis Preslly, muzikal The Wizard of Oz dan termahsyur The Sound of Music. Kembalinya demam revival muzikal ini membawa kepada sebuah lagi pop culture dalam industri seni perfileman. Persoalannya, adakah demam ini akan kekal lama?
Jadi, apakah tujuannya memfilemkan naskah popular dan legenda pementasan muzikal seperti Chicago, The Producers, The Phantom of Opera dan Dreamgirls ? Barangkali kerana tarikan perbezaan nuansanyanya, barangkali juga bagaimana kita mahu memindahkan suara, kostum dan kesemua persembahan yang kadangkala terlampau itu ke sebuah teknik yang agak kejung, pegun dan sempit seperti dunia filem?.

Maka, pada aku, bagaimanakah
vote aku agaknya Dreamgirls sebagai sebuah filem muzikal?
Tak diragukan lagi, ini adalah sebuah filem muzikal yang baik dan bagus dari sudut pembikinannya. Bill Condon seperti juga Rob Marshall berjaya menghasilkan sebuah filem muzikal yang tepat dan betul. Betul dan tepat bermaksud seakan- akan nuansa sebenar ketika berada dalam sebuah pementasan teater muzikal yang sebenarnya.
10 minit terawal menonton filem ini, aku sudah dapat meyakini Dreamgirls mempunyai semua yang ada untuk menjadi sebuah filem muzikal yang hebat. Lakonan pedukung-pendukung watak yang hebat, kostum, props dan paling penting muzik dan nyanyiannya.
Ini adalah sebuah filem amat besar perbelanjaannya. Ini juga adalah sebuah filem yang disebut oleh pengkritik-pengkritik filem sebagai bakal gegarkan dunia sepertimana Chicago. Semuanya betul, tetapi Chicago sudahpun mendahuluinya, saya ragu filem ini akan bakal dipuji sepertimana Chicago. Jangan salah sangka, Dreamgirls ada kesemua elemennya, barangkali juga filem ini boleh berjaya ataupun sebaliknya.
Bagi mereka yang masih kosong dengan Dreamgirls, ia mengisahkan tiga orang perempuan seperti klise yang biasa, berusaha dari tiada nama dan kemahsyuran cuba menaiki tangga populariti untuk menjadi trio nyanyian yang terkanal. Malangnya, usaha demi usaha gagal. Sehinggalah bertemu dengan Curtis Taylor yang memimpin mereka untuk menjadi lebih terkenal. Malangnya, permintaan untuk menyanyi yang memerlukan Deena Jones menjadi ketua sebalik kehebatan Effie White sebagai vokal terbaik, mengakibatkan trio tersebut berpecah. Kumpulan Dreamgirls terus berusaha dan menjadi terkenal di seluruh negara. Sebaliknya, Effie White terus berusaha mencari dunia nyanyiannya sendiri sehinggalah kehebatannya cuba disingkirkan sekali lagi oleh Curtis Taylor yang berasa terancam.
Dreamgirls juga terkandung kisah cinta tiga segi antara Deena Jones, Curtis Taylor dan Effie White. Dan juga terkandung persahabatan akrab yang akhirnya menguji nilai persahabatan itu. Dreamgirls juga sebuah kisah tentang kepercayaan, keyakinan terhadap diri dan akhirnya tentang survivaliti dalam dunia hiburan yang kejam apabila kawan boleh bertukar menjadi lawan pada bila-bila masa.

Apa yang paling penting buat Jimi, sudah tentu bukanlah memikirkan samada filem ini boleh jadi filem terbaik atau tidak. Bukan juga untuk meyakini bahawa ini sebuah filem muzikal yang bagus telah aku tonton atau tidak.
Ini adalah sebuah filem yang akan aku ceritakan kepada teman-teman aku betapa hebatnya lakonan Effie Melody White lakonan Jennifer Hudson dalam mana-mana filem muzikal. Mungkin kerana bias atau apa sahaja yang anda katakan, Dreamgirls adalah tentang watak Effie Melody White tentang kebangkitannya dan bukanlah tentang Deena Jones.
Segala tentang Dreamgirls adalah tentang kehebatan Jennifer Hudson. Tonton adegan ketika nyanyian lagu When I Am Telling You adalah pesona yang tidak dapat dilupakan. Segalanya tentang emosi, nyanyian dan vokal beliau terserlah dengan gemilangnya. Mungkin, anda boleh berkata ini adalah forte beliau, menyanyi. Tetapi untuk memasukkan elemen watak dalam nyanyian adalah satu bakat lakonan juga. Dan, ini kita tidak dapat tonton dalam percubaan Whitney Houston , Britney Spears, Kd Lang ataupun Eminem sekalipun gagal.
Perlu diingat, ini adalah filem pertama Jennifer, dan siapalah dia jika dibandingkan dengan Beyonce, Eddie Murphy, Jamie Foxx (pemenang anugerah Aktor Terbaik menerusi Ray), Danny Glover, Annika Noni Rose (memenangi anugerah Tony Awards).
Dan kesemua faktor ini menyebabkan harapan dan jangkaan terlalu tinggi untuk beliau, apatah lagi Jennifer Holiday yang memegang watak Effie Melody White dalam pementasan Broadway masih diingati kehebatannya menyanyikan lagu berhantu tersebut.
And she delivered.
Jika Jennifer Hudosn tidak terfikir akan berlakon filem lagi, dia akan dikenang sebagai penyanyi yang tersingkir dalam bintang realiti American Idol, dan akhirnya mendapat tawaran berlakon dan memenangi anugerah Golden Globe setakat ini!
Bila anda menonton Dreamgirls, kesemuanya tentang watak Effie. Apabila tiada adegan Effie, aku terasa kehilangan. Dan, ini bukan kerana bintang-bintang lain tidak menyinar tetapi persona Effie sangat kuat. ( Again, Jimi and his biasness )

Aku pernah terbaca sebuah artikel mengenai minat Beyonce untuk berlakon.
" Aku mahu menjadi wanita kulit hitam pertama yang memenangi anugerah Oscar (Lakonan), Grammy (Muzik) dan Tony Awards (Teater). Ini adalah visi aku."
Wow, itu adalah ekspresi aku ketika membacanya. Jadi, aku tidak hairan jika Beyonce mahu menjadi bintang dalam filem ini. Dengar ceritanya, keinginan meluap-luap untuk menjadi bintang dalam filem ini, apabila beliau hadir dalam audisi dengan pakaian penuh era Dreamgirls, dan siap dengan lagu dan koreografinya sekali. Untuk itu juga, dia mengambil masa enam bulan berlatih berlakon walaupun sebelum ini dia pernah berlakon filem.
Betul, suatu hari nanti aku percaya Beyonce bukan sekadar penyanyi yang hebat, beliau akan lebih hebat. Tetapi, anugerah Oscar untuk lakonan beliau dalam filem Dreamgirls? Sudah tentu tidak. Beliau boleh mencuba lagi pada masa akan datang. Mungkin lakonan sebuah filem yang tidak membenarkan dia menyanyi!
Aku salahkan plot dan subplot filem ini, yang menjadikan watak Deena Jones lakonan beliau, sangat terpinggir. Salahkan aura Jennifer Hudson atau salahkan semuanya, sayang sangat Deena Jones mempunyai peluang untuk menjadikan beliau yang terbaik. Setelah 50 minit filem ini berjalan, watak Deena Jones masih belum berkembang dan masih lagi tentang Effie White.
Aku tidak menafikan Beyonce adalah Beyonce. Dia akan berusaha untuk mencapai sesuatu. Ya lah, dengan butik fashionnya, set haruman parfumnya, lagu ciptaan, tariannya , itulah Beyonce. Dia mahu menjadi serba boleh.
Aku dapat merasakan kepelbagaian emosi. Pada awal filem ini, tentang kesederhaannya, dan di pertengahannya tentang kekeliruan Deena dengan suaminya dan akhirnya emosi dilepas puas ketika menyanyikan lagu Listen. Jadi, apabila ianya sudah terlambat, dan jalan cerita yang tidak memihak kepada Beyonce, mulalah aku ragu-ragu, sepatutnya watak Deena Jones hanya layak dipertandingkan untuk kategori Supporting dan bukan kategori Leading.
Dan, tidak hairan lah, desas desus mengatakan Beyonce tidak berpuas hati dengan pujian melambung pengkritik dan peminat terhadap Jennifer Hudson dan bukan untuk beliau. Apatah lagi, dia adalah bintang heroin dalam filem ini. Kasihan bukan? ( I do hope the rumours are not true)
Mungkin lain kali. Aku pasti dia akan bakal diiktiraf. Tetapi bukan dalam filem Dreamgirls.
Filem Dreamgirls bakal dinominasikan untuk pelbagai kategori terutamanya dalam bahagian teknikal seperti penyuntingan, kostum, bunyi dan set. Aku amat yakin dan mengharapkan Jennifer Hudson akan turut tercalon sebagai lima finalis(Supporting atau Leading, belakang kira), tetapi aku sangat ragu dia akan menang Oscar. Terlalu banyak lobi dan politik.
Untuk Dreamgirls, ia adalah sebuah filem berbajet besar yang ditampung oleh syarikat gergasi. Kesemuanya nampak gah seperti Aviator dan sebelumnya. Tetapi, kebiasaannya filem berbajet besar akan karam dalam festival anugerah(kecuali Titanic).
Cukuplah aku akhiri, Dreamgirls adalah sebuah filem muzikal yang bagus untuk ditonton kerana Jennifer Hudson dan pesonanya. ( Ohh am I exaggerating? …you have to watch in order to know that)
Effie Melody White " Well, what am I supposed to do? Deena's beautiful, and she's always been beautiful..... but I' ve got the voice, Curtis! I' ve got the voice! "