
Lebih setahun yang lalu, saya terbaca bahawa Zhang Yi Mou bakal mengarahkan sebuah lagi filem period setelah kejayaan Hero dan House of Flying Daggers. Kali ini katanya lebih mewah, lebih segalanya daripada semua sudut dan yang paling mahal seanteronya.
Filem ini yang disebut termahal dalam sejarah pembikinan filem di China. Suratkhabar harian menyatakan, untuk filem ini sebanyak 20, 000 pelakon tambahan diguna pakai berbanding filem Hero juga arahan Zhang Yi Mou yang hanya menggunakan seramai 1, 000 sahaja. Baju maharaja yang dipakai oleh teraju utama Chow Yun Fat dikatakan seberat 40 kilogram. Wow!
Zhang Yi Mou merupakan salah seorang sutradara yang sangat aku kagumi. Namanya jika disusun sama dengan nama-nama Pedro Almodovar, Alejandero Amanabar, Lasse Halstrom dan beberapa lagi yang saya gemari. Tetapi, yang hakikatnya mengingatkan aku kepada naskah Yi Mou bukanlah filem-filem extravaganza beliau, sebaliknya filem-filem kecil beliau yang lebih tersendiri, bebas dan puitis seperti Not One Less, The Road Home, Raise The Red Lantern. Filem-filem ini sangat penting dalam ekspresi dan perspektif terhadap dunia tentang secebis kehidupan masyarakat China. Apatah lagi, filem-filem ini disanjung dan dihargai di festival-festival filem antara bangsa.
Menantikan filem The Curse of Golden Flower ini pun sangat menyakitkan. Bayangkan saja, iklan poster filem ini sudah terpampang di dada akhbar sejak bulan Ogos lagi. Di China, filem ini ditayang untuk beberapa tayangan sahaja sekadar mendapatkan syarat untuk ke Anugerah Oscar dan festival filem lain sebagai filem rasmi negara China. Pelakon-pelakonnya diupah dari ceruk rantau, selagi ada yang berbangsa cina samada dari Hong Kong, Taiwan atau China.

Seniman agung Chow Yun Fat yang sebelum ini gagal dan gagal lagi percubaan filem-filem Hollywood nya kecuali Crouching Tiger Hidden Dragon. Maka, setelah semua percubaan itu maka sepatutnya dia kembali ke filem-filem asalnya . Begitu juga dengan Gong Li, setelah dikritik hebat kerana tidak bersifat nasionalis dengan menjadi orang jepun dalam Memoirs of Geisha, dialah antara yang terhebat malah pembabitan dalam filem ini seperti sirih pulang ke gagang. Masakan tidak, Zhang Yi Mou lah yang memperkenalkan bintang Gong Li ini menerusi filemnya. Siapa yang tidak mahu menonton Jay Chow, bintang muda hip hop paling popular di Asia selain Rain, walaupun ini bukan filem pertama beliau, tetapi peminat lebih mengharapkan bakat lakonannya lebih terserlah melalui filem ini, maklumlah sebuah naskah pengarah tersohor. Harapan dan jangkaan cukup tinggi.
Jadi, setelah menontonnya, apakah keputusan Jimi?
Aku cukup berasa simpati kepada si penulis novel atau pengarah filem. Kerana, hakikatnya setelah berhempas pulas berbulan-bulan lamanya menghasilkan karya mereka tetapi yang menjadi jurinya adalah masyarakat. Sungguhpun mereka berkata, itulah naskah terbaik mereka tetapi apa pula kata juri?
Aku tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa dengan filem ini. Mungkin saja kerana jalan ceritanya yang sudah menjadi begitu biasa dan lazim. Pertembungan plot dan perebutan kuasa antara adik beradik di raja dalam sebuah institusi keluarga raja yang sangat dysfunctional. Plot demi plot perebutan takhta bagai sudah dijangkakan. Terima kasih kepada filem Banquet.
Kerana filem Banquet, aku tidak dapat mengelak daripada membanding beza kedua-duanya. Apatah lagi, jalan ceritanya sama iaitu cerita mengenai keluarga diraja. Hmmmm alahai...apalah lagi keistimewaannya.
Sebab itu lah aku sangat bersimpati kepada pengkarya-pengkarya kreatif, sedangkan mereka berfikir itulah yang terbaik sebaliknya masyarakat memandang sebaliknya. Too bad.

Filem ini , walaubagaimanapun , tidaklah seratus peratus tidak hebat. Anda mungkin menonton filem ini dengan mulut ternganga kerana kagum dengan segala kemewahan filem ini. Filem ini bermula dengan ramainya dayang-dayang bergegas-gegas menyiapkan diri. Bayangkan begitu ramainya manusia yang bernama dayang istana. Begitu juga dengan adegan pertarungan di akhir filem ini sangat mengkagumkan. Usaha untuk tidak menggunakan teknik CGI untuk memperbanyakkan bilangan tentera tidak digunakan sama sekali. Ini yang sepatutnya dipelajari oleh filem The Lord of the Ring.
Memang mengkagumkan dengan membayangkan kesemuanya hebat. Oh ya, istananya cukup cantik dengan permainan warna yang melampau dan keterlaluan. Jika anda peminat filem yang berkostum hebat inilah filem yang wajib ditonton. Cukup melekakan. Permainan warna dan sifatnya digunakan melimpah ruah di mana-mana. Seluruh laman istana disertakan dengan bunga kekwa yang cantik kuningnya, dan tiang-tiang istana seperti dicat dengan mandian warna yang seolah-olah permainan warna batik. Aku ternganga lagi sekali.

Dari sudut yang lain, filem ini tidak kosong dengan kehebatan lakonan-lakonannya. Jika ada pelakon yang boleh berdiri kaku gagah tanpa bersuara, maka dia lah Chow Yun Fat. Auranya cukup hebat. Sifat maharaja yang angkuh, ego dan bongkak tetapi pada masa yang lain terserlah karisma sebagai ayahanda yang romantis dan penyayang. Mungkin wataknya memerlukan beliau kejam kerana terlalu banyak yang mendambakan takhta maharaja dan ini termasuklah memberikan keraguan kepada anak-anaknya. Antara lakonan terbaik Yun Fatt yang pernah aku tonton.
Kalau bukan Gong Li siapa lagi yang boleh menggantikan tempat ini. Ternyata fikiran aku menggambarkan Maggie Cheung, Joan Chen atau Zhang Zi Yi. Tetapi, setelah menonton lakonan Gong Li, aku rasa beliau lah pelakon yang paling tepat. Lakonannya cukup hebat, tersendiri dan berani untuk berekspresi. Lakonannya tidak nampak dilatih atau dipaksa. Dia lah bintang yang paling berkesan dalam filem ini. Malah keseluruhan jiwa rasa filem ini sebenarnya bergantung kepada cerita maharani ini. Maka, sudah tentu Gong Li harus menyerlahkan segalanya.

Jay Chow berjaya mengenepikan kelibat atau aura komersil dan populariti beliau dalam filem ini. Jika dalam filem Initial D dia menggunakan seluruh pakai komersil nama yang ada tetapi dalam filem ini, dia sangat kerdil berbanding dua nama besar yang ada.
Tetapi, persembahannya tidak mengecewakan. Lebih baik daripada lakonan Daniel Wu dalam The Banquet. Tetapi sayang, wataknya memang sengaja dipinggirkan kerana filem ini hanya bertumpukan kepada watak maharani. Aku memang menjangkakan beliau layak mendapat watak ini. Jay Chow adalah seorang yang kreatif. Hasilnya dalam lagu-lagu beliau dan arahan-arahan video klip lagu-lagunya menunjukkan dia tidak mahu bersandarkan kepada satu bidang seni sahaja. Mungkin peminat boleh menarik nafas lega, kerana dia mungkin boleh pergi jauh lagi dalam bidang lakonan.
( By the way, pernah tak aku memberitahu kalian, Jimi adalah peminat Jay Chow dan muziknya?)
Hanya dua aspek yang mengkagumkan aku - seperti yang telah dijelaskan. Sebaliknya, jalan ceritanya masih berlalu seperti biasa dan lazimnya. Tiada yang istimewanya. Mungkin jalan cerita filem ini akan mengecewakan anda. Tetapi, anda mungkin menonton filem ini untuk menghargai kesungguhan bakat lakonan dan keindahan kostum dan set filem ini.

Maka benarlah kata pengkritik filem, untuk sebuah filem yang baik perlu ada keseimbangan dalam semua aspek. Jalan cerita yang bagus, lakonan yang hebat, seni arahan tersendiri. Maka, filem ini telah kekurangan sbeuah aspek utama. Mengakibatkan filem ini hanya sebagai filem yang ku takrifkan sebagai good watchable movie, tetapi untuk menontonnya sekali lagi, tidaklah rasanya.
Maafkan aku, aku masih berfikir The Banquet antara yang terbaik. (Jimi dengan bias gadis kesukaannya Zhang Zi Yi).
Labels: filem