
Jika ada manisnya pengorbanan, maka adalah Cinta,
Jika ada kasih yang tulus, maka lahirlah Cinta,
Jika sayang itu perlu diungkapkan luas, maka terucaplah Cinta,
Jika kasih itu bisa layu dan pudar, masihkah ada Cinta?
Jika benar kasih itu jujur, adakah ia melahirkan sucinya Cinta
Sudah ku ulangi lagu Perpisahan berulang kali, sudah ku tonton sedutan demi sedutan di semua rangkaian Media Prima. Sudah ku membaca ulasan demi ulasan. Sudah ku persiapkan diri, mental dan fizikal untuk menonton filem ini.
Samada anda bisa saja menakrifkan filem ini urban atau indie, maka lupakan saja bahasa filem yang menjengkelkan itu sebaliknya apa yang perlu anda bawa, sekeping hati yang ikhlas untuk memahami maksud cinta. Dan sesungguhnya, sedari kecil hingga dewasa kita tidak bisa menakrif lebarkan sebuah konsep cinta. Dan, kita sentiasa dangkal untuk memahami maksud cinta.
Bukan cinta biasa. Bukan juga cinta luar biasa. Cinta dan takrifannya yang luas dan tidak berpenghujung. Mungkin ini yang ingin dipersembahkan.

Cinta Itu Tidak Berpenghujung.
(Elyas dan Rubiah)
Ketika usia menjelang senja, kita fikirkan cinta akan layu dan begitu juga kasih belas sesama manusia. Kisah kesetiaan seorang manusia yang sayangkan hidupnya. Di dalam mindanya terbentang kisah rutin, membetulkan jam tangan, singgah membeli sebuah akhbar, mengajar satu dua perkataan inggeris, singgah untuk menggunting rambut. Tanpa disedari kehidupan terhenti di situ. Maksud aku, hidup dia terhenti di situ. Tiada lagi kenangan baru. Dan bagaimanakah cinta baru itu lahir apabila ada insan sanggup menemaninya dan kenangan lamanya. Cinta itu sungguh manis, ya?
Cinta itu perlu diungkapkan.
(Azlan dan Azura)
Sang lelaki mengatakan cinta itu tidak perlu diungkapkan. Tetapi wanita mahu ia diungkapkan. Jika kita cintakan seseorang, mengapa perlu ia diceritakan kepada satu dunia? Biarlah dia saja yang tahu. Benarkah begitu? Tetapi, sumpah cinta itu perlu diungkapkan kerana ianya akan melegakan dan menenangkan si dia supaya dia tahu dia sentiasa disayangi.
Cinta itu sebuah pengorbanan
(Dyan dan Dhani)
Klise. Sanggup direnangi lautan api, sanggup gunung didaki. Sedangkan kita sentiasa berfikir bahawa cinta dan dunia kita hanya berlegar kepada seorang kekasih, tetapi hakikatnya cinta yang hakiki lahir daripada cinta darah daging sendiri. Dan, kini cinta itu menuntut pengorbanan seorang kakak. Sanggupkah kita menyerahkan diri kita demi kasih dan cinta seorang adik dan kakak?
Cinta itu bisa layu di pertengahan
(Harris dan Airin)
Ironi, sungguhpun cinta itu maha luar biasa tetapi cinta itu kadangkala bisa pudar. Bisa layu dan menguntum cinta kepada insan lain. Jika hadirnya hari itu,ya, pada hari kekasih hati anda memberitahu dia sudah menemui cinta yang lain, apakah yang anda lakukan? Apakah yang bisa anda pertaruhkan kerana selama ini anda mempertaruhkan nyawa dan seluruh jiwa raga tetapi akhirnya dibalas dengan sebuah perpisahan! Benarkah cinta itu bisa layu?
Cinta itu sebuah kejujuran
(Arianna dan Taufik)
Sanggupkah anda mengharungi cinta yang dibina atas kepuraan dan pembohongan? Dan jika cinta itu datang dengan keluhuran dan kesetiaan, pastinya cukup membahagiakan. Sungguhpun kehidupan sentiasa dihimpit dengan kemiskinan material, tetapi cinta yang tulus itu bisa membuatkan kita membuang segala yang negatif dan membina hidup sepositif mungkin.
Sekalung tahniah kepada pendukung-pendukung watak yang bisa melahirkan sebaik mungkin wajah-wajah manusia biasa yang menakrifkan maksud cinta. Tahniah juga kepada seni bahasa visual yang cantik dan tersendiri yang sentiasa menyegarkan itu. Tahniah juga kerana bisa menemankan latar filem ini dengan lagu-lagu yang mendalam, indah dan menenangkan.
Terima kasih kerana memberikan keyakinan kepada Jimi, bahawa mutu perfileman kita tidak seburuk yang dianggap. Terima kasih kerana pemberian harapan itu.
Labels: filem