2006 mentup tirainya. Begitu jugalah dengan jurnal Jimi Wiser. Maka, sangat cocok kiranya Jimi menutup tirai 2006 dengan sebuah filem pilihan terbaik. I am saving the best for last. Ini sebuah filem yang dinobat Jimi sebagai terbaik yang ditonton sepanjang tahun. ( Filem ini dikeluarkan di Jepun tahun 2004, tetapi hanya pada tahun ini saja berkesempatan menontonnya)

Introduksi
Ima, Wa Aini Yukimasu, yang bermaksud Be With You dalam bahasa Inggeris terjemahannya. Sebuah filem yang mempunyai ciri-ciri filem sempurna dari sudut segalanya yang membolehkan Jimi takrifkan filem terbaik ditonton sepanjang tahun.
Atau, lebih mudah bermaksud Ingin Bersamamu. Kisah penuh klise tetapi terkandung dan sarat mesej cinta yang romantis tetapi magikal merentasi 6 minggu yang penuh keajaiban. Filem yang penuh kasih sayang ini mengungkap bahawa kasih dan cinta ini akan kembali menemui soulmate anda jika ianya sejati.
Ini adalah sebuah filem yang meruntun dan mengharukan jiwa Jimi. Segalanya dan tentangnya, seperti jalan cerita, the execution of direction, lakonan penuh jiwa dan perasaan, latar lagu, visual sinematografi.

Alkisahnya
Mio, Yuji, Taku - Potret Keluarga Bahagia. Mereka bahagia menempuh sebuah kehidupan. Taku yang melindungi isteri dan anaknya. Yuji, budak lelaki comel yang lincah dan ekspresif. Mio, wanita sempurna idaman setiap lelaki. Bahagia mereka sesungguhnya tidak berpanjangan.
Mio meninggalkan dunia akibat sakit. Dan, kehilangan ini sangat dirasai oleh kedua beranak, Taku dan Yuji. Terutamanya Yuji, yang merasakan pemergian ibunya adalah kerana dirinya. Kerana dirinya dilahirkan.
Yuji sibuk mengelek sebuah buku cerita pemberian ibunya.Yuji mempercayai setiap halaman buku itu. Dalam buku itu, tersebut kisah ibu yang akan datang kembali menemui anaknya ketika musim hujan. Ibu akan kembali menceriakan hidup anak dan si ayah selama enam minggu.
Maka, seperti yang dijanjikan dan dipercayai oleh Yuji, doa dan impian kedua anak beranak terkabul. Ibunya kembali tetapi dengan kosongnya ingatan dan kenangan bersama.
Maka juga, bermulalah bagaimana kisah cinta Taku dan Mio dititip kembali, bagaimana cinta mereka di bangku sekolah bersemi, bagaimana mereka menempuh segalanya untuk bersama dan mendirikan sebuah rumah tangga. Bagaimana kehadiran Yuji menyempurnakan kehidupan mereka.
Keseronokan dan kegembiraan dapat dikecapi semula. Rindu dan kasih bertaut kembali. Tetai hanya untuk sementara. Musim hujan bakal berakhir, dan seperti di halaman terakhir buku cerita itu, ibu akan kembali setelah musim hujan berakhir. Maka, Mio bakal kembali pergi buat selama-lamanya.
Patung Sunshine yang digantung terbalik, moga hujan dipanjangkan.
Ulasannya
Jalan cerita dalam filem ini terlalu istimewa. Mungkin kerana konsep merentasi masa dan magikalnya adalah konsep yang sangat romantis buat aku. Sebuah lagi tema kehilangan dan pertemuan yang meruntun jiwa dan mengharukan perasaan. Babak demi babak disusun atur dengan nuansa melankolik dan sentimental, dan sesungguhnya ia tergolong dalam sebuah filem melodramatik yang terlalu comel.
Sudah pasti olahan filem ini dibuat dengan penuh kesegaran untuk mengelakkan dari tergolong dalam filem " been there and done that". Apatah lagi untuk membikin filem yang jalan ceritanya diadun dari klise filem cinta romantis akan menyebabkan penonton jemu dan jenuh.
Hakikatnya, filem ini mencatatkan sejarah tersendiri. Sebuah filem yang diadaptasikan daripada sebuah novel popular hasil nukilan Takuji Ichikawa yang berjudul Ima, Aini Yukimasu.
Populariti novel ini sungguh menyesakkan rakyat Jepun dan seorang pengarah mahu mengarahkan naskah buku ini. Sutradara tersebut Nobuhiro Doi yang sebelum ini pernah mencipta sejarah mengarahkan dua drama popular Jepun dan di Asia Tenggara suatu ketika dulu; Good Luck dan Beautiful Life (Masih lagi mengekal rekod rating paling tinggi di Jepun sehingga sekarang).
Menurut laman web yang aku baca, filem ini mencatatkan jumlah kutipan tertinggi pada tahun 2004. Filem ini telah ditonton seramai 3.8 juta penonton. Kutipan tiket mencecah sebanyak 48 juta dollar. Dan, kalau begini sambutan hebat, tentu sahaja filem ini terkandung keistimewaan tersendiri, yang wajib ditonton oleh anda semua pembaca laman blog Jimi Wiser!
Klise dan stereotaip adalah perkataan yang sangat tidak digemari. Tetapi, perhatian semua, kisah klise dan stereotaip ini mampu menggerak detik jantung dan hati anda untuk sama-sama menikmati filem ini. Garapannya menarik, tersusun kemas. Plot dan subplot tidak berlengah-lengah dan juga tidak termengah-mengah untuk berpindah dari satu babak ke babak lain. Sebenarnya, inilah keistimewaan filem Jepun. They are so unhurry in telling stories unlike Hollywood films.

Istimewanya filem ini kerana;
1. Penggunaan beberapa simbol dan metafora seperti hujan dan sifatnya yang romantis. Tetapi sebahagian kita, tidak sukakan hujan. Tetapi, hujan diertikan dalam filem ini membawa maksud kebahagiaan. Apabila seorang menjerit musim hujan diganti dengan musim panas dengan kegembiraan tetapi Taku dan Yuji sangat kecewa ianya bakal berakhir, bererti ibunya akan kembali pergi.
2. Pada awal kisah, kelihatan Taku tidak bermaya mengayuh basikal sehingga dipotong oleh remaja perempuan. Tetapi, pada pertengahan filem, Taku berjaya memotong kayuhan remaja itu, dan ini membuatkan gadis itu terkejut besar. Taku menerima suntikan kebahagian, isterinya yang mati kembali hidup!
3. Watak-watak kecil tetapi unik dan menarik. Doktor peribadi Taku yang banyak mendengar masalah Taku dan mempercayai keajaiban 6 minggu yang diceritakan oleh Taku. Begitu juga, watak guru kelas Yuji yang sungguh manja dan unik. Apabila Yuji mengadu bahawa dia mempunyai rahsia besar(bahawa ibunya kembali), guru itu berkata " Im so jealous that you have secrets."
4. Pemilihan pelakon yang sangat efektif. Shidou Nakamura terpilih sebagai pelakon lelaki mungkin bukan kerana dia terkacak seperti Takeshi Kaneshiro, tetapi kerana ekspresi wajah yang komikal dan unik, sesuai dengan wataknya sebagai ayah yang lurus. Siapa yang tak sukakan budak lelaki yang comel dan bijak seperti Akashi Takei, dan lakonannya sangat baik dan cemerlang. Yuko Takeuchi sebagai pelakon wanita sangat menyenangkan dengan raut wajah yang keliru, comel, kecewa dan segalanya. Sangat cocok gandingan mereka bertiga.

Trivia
1. Jennifer Garner " Alias" bakal berlakon dalam filem yang diadaptasi daripada filem ini. Jennifer yang sangat sukakan filem asalnya akan menjadi penerbit buat kali pertamanya dan membintanginya.
2. Shidou Nakamura dan Yuko Takeuchi pelakon lelaki dan wanita dalam filem ini merupakan pasangan suami isteri sebenar. Mereka jatuh cinta dalam filem ini, dan berkahwin selepas membintangi filem ini.
3. Filem ini bukan sahaja berdiri sendiri. Populariti cerita ini menjadi demam melanda Jepun. Selain novel popular dan filem ini, ia juga mempunyai manga sendiri. Dan, filem ini telah pun berpindah ke sebuah siri popular juga dengan judul yang sama.

Setelah menonton filem ini buat kali pertama, aku terkaku seketika kerana kagum dengan jalan ceritanya. Dan, aku tidak dapat menghentikan pemikiran aku daripada memikirkan filem ini berkali-kali.
1. Jimi tidak dapat melupakan latar lagunya yang sangat menarik.
2. Jimi tidak dapat melupakan bagaimana kisah percintaan remaja mereka yang sangat comel itu.
3. Jimi tidak dapat melupakan si budak comel Yuji yang menjerit sekuat hati nama ibunya.
4. Jimi tidak dapat melupakan bagaimana cerita ini disusun rapi dengan kisah flashback dan present tanpa rasa bosan dan jemu.
5. Jimi tidak dapat melupakan setiap kebetulan dalam filem ini, dan Jimi sukakan perjalanan cerita cinta mereka yang diceritakan oleh kedua-dua watak secara paralel.
6. Jimi tidak dapat melupakan bagaimana Jimi fikir filem ini sudah berakhir tetapi rupanya masih belum ditamatkan lagi. What a great ending!
Tuntasnya, apa ditunggu lagi?. Carilah filem ini dan tonton ia dengan hati terbuka. It is my best recommendation of my favorite film this year. Dan, beritahu aku ngomelan anda tentang filem ini sesudah menontonnya.
Tonton trailer filem ini
Lawati laman web filem ini
Labels: filem