
Ulasan ini bakal mengandungi spoilers.
Filem ini telah memenangi anugerah Filem Terbaik Palm D Or. Jika anda kurang arif, anugerah tersebut adalah anugerah terbesar dan dihormati oleh para penggiat filem antarabangsa yang dianugerahi daripada sebuah festival filem yang terkenal iaitu Festival Film Cannes, France.
Aku akui, aku hanya menonton filem ini hanya semata - mata kerana label kemenangan tersebut. Dan, lazimnya di sebalik kemenangan sesebuah filem ada pelbagai kontroversi yang tercetus. Kontroversi filem ini adalah mengenai sutradaranya Ken Loach yang dikritik hebat oleh media British kerana menceritakan kembali kekejaman askar-askar British di republik Ireland.

Biasalah tu, siapa yang mahu diingatkan tentang sejarah silam yang hitam apatah lagi tentang keburukan silam sendiri?. Tetapi sejarah tetap sejarah, wajar diceritakan semula sebagai teladan dan sempadan. Tetapi, sejarah mampu diulangi semula sekiranya kita tidak meneladaninya.
Aku selalu terfikir sendirian, bagaimanakah agaknya kehidupan dalam peperangan?. Seperti arwah nenek aku yang gemar menceritakan betapa takutnya pabila bertembung dengan askar-askar Jepun. Bagaimana anak-anak gadis dihitamkan dengan arang supaya kelihatan hodoh untuk mengelak daripada dirogol oleh askar-askar Jepun. ( Boleh anda bayangkan dalam filem Embun, wataknya yang berpakaian cantik bersiar ke sana ke mari, sangat tidak realistik, bukan?)
Barangkali filem ini dapat memberikan sebuah perspektif bagaimanakah kehidupan di dalam peperangan. Tentang sebuah peperangan saudara di Ireland. Bagi anda yang tidak arif tentang sejarah dunia, Ireland adalah sebuah negara yang selalu berantakan kerana mahu diberikan kuasa autonomi daripada Britain. Lalu, tertubuhlah IRA, gerakan pembebasan Ireland untuk menuntut kemerdekaan.

Maka kisah ini adalah secebis kisah tentang bagaimana sekumpulan anak muda mahu membebaskan tanah air tercinta mereka daripada orang asing.
Lagi. Sebuah kisah peperangan. Itulah fikiranku. Mujurlah ia bukan tentang peperangan sejarah Holocaust yang selalu benar difilemkan oleh penggiat filem. Setidak-tidaknya boleh juga aku memahami satu dua tentang sejarah Republik Ireland, yang mana mungkin pengetahuan kita hanya dapat mengaitkan Ireland dengan kumpulan Rock U2, The Corrs atau band yang aku minati Cranberries.
Pada awal filem ini, ternampak keindahan lanskap sebuah negara yang menerima angin paling kuat. ( seperti dilabel sebagai The Most Windy Country). Sekumpulan anak-anak muda sedang bermain di padang dengan gembira. Maka, diperkenalkan Damien ( lakonan Cillian Murphy ) seorang doktor yang bakal kembali ke England untuk meneruskan kerjayanya.

Namun, hasrat Damien untuk kembali ke England terhenti apabila peristiwa demi peristiwa kekejaman askar British terhadap orang tempatan dilihatnya. Pertamanya, pembunuhan sahabat sepermainannya Michael yang hanya dibunuh semata-mata kerana tidak mahu memperkenalkan namanya dalam bahasa Inggeris.
Damien, yang pada awalnya menyifatkan konflik dalaman negaranya sukar untuk diputuskan penyelesaiaannya sering bertelagah dengan abangnya yang merupakan penggerak kuat gerakan bersenjata IRA. Akhirnya, Damien mengakui yang dia tidak boleh berdiam diri dan berpeluk tubuh sahaja. Maka, dia meninggalkan kerjayanya dan bergerak aktif dalam IRA dalam objektif membebaskan negaranya daripada kekejaman Britain.

Perjuangan mereka memerlukan iltizam yang kuat dan kukuh. Kerana hasrat mereka begitu tinggi untuk tidak melihat lagi mereka dihina. Satu adegan yang berupaya mengalih mata aku untuk melihatnya bagaimana abangnya Teddy disiksa dengan ditarik kesemua kuku-kukunya supaya dapat memberitahu persembunyian senjata - senjata mereka. Sangat mengerikan. Dan kasih seorang adik terhadap abangnya begitu tinggi. Terserlah karisma Damien yang pada awalnya enggan melibatkan diri dalam gerakan tersebut. Dan, akhirnya dia lah yang menggerakkan semangat teman- temannya.
Tetapi, benarkah kasih sayang adik beradik itu tidak mengubah segalanya, melepasi segala halangan?
Maka, berlakulah gencatan senjata yang dipersetujui pemimpin gerakan tersebut di London. Gencatan tersebut mengakui kedaulatan Ireland tetapi dibayangi dengan beberapa syarat yang tidak adil. Antaranya, Raja England masih berkuasa atas tanah Ireland. Perjuangan Damien dan anak - anak muda yang lainnya bagaikan menumpahkan air di keladi. Sebahagian daripada ahli kumpulan tersebut dilantik sebagai wakil kepada pemerintahan Britain. Dan, ini termasuklah abang Damien, Teddy.
Dan, ini sangat menyedihkan bagi Damien yang menganggap abangnya sudah menjadi tali barut Britain. Bagi Damien, kebebasan mutlak tanah air mereka harus dicapai secara total dan bukannya apa yang telah mereka peroleh kini. Bagi abangnya pula, ini adalah batu loncatan kemerdekaan negara mereka dapat dicapai dengan segera melalui perjanjian gencatan senjata yang telah dimeterai.
Menganggap abang dan beberapa lagi sebagai tali barut Britain, Damien meneruskan perjuangan gerakan tersebut dengan melancarkan beberapa serangan. Malangnya, pihak di sebelah abangnya menganggap mereka sebagai pengacau keamanan, antara satu syarat kebebasan penuh yang bakal diberikan kepada Ireland. Maka, misi Teddy dan teman- temannya adalah menghapuskan gerakan adiknya.
Tetapi, benarkah kasih sayang adik beradik itu tidak mengubah segalanya, melepasi segala halangan?
Aku ulangi lagi soalan tersebut kepada anda semua. Teddy berjaya menangkap adiknya Damien dan memaksa memberitahu tempat persembunyian senjata mereka. Damien enggan. Teddy memujuk Damien melupakan perjuangan dan berkahwin dan bertugas sebagai seorang doktor yang mulia. Damien enggan. Damien membantah, sekali langkahnya masuk ke perjuangan itu, maka dia tidak akan sekali- kali meninggalkannya begitu sahaja.
Damien telah dihukum bunuh. Ditembak sehingga mati. Ya, abangnya sendiri Teddy melepaskan tembakan ke arah adiknya. Adiknya yang selama ini sentiasa berada di sisinya.
Itulah pengakhiran cerita filem ini yang menyebabkan semangat aku tergantung begitu sahaja. Cukup menyedihkan melihatkan perjuangan anak muda ini yang dibunuh oleh abangnya sendiri. Aku kaget, terdiam dan pada satu ketika memikirkan betapa mendalam sekali filem ini .
Ya, filem ini tiada happy ending seperti selalunya. Apa yang boleh anda jangkakan daripada sebuah filem yang bergenrekan peperangan. Filem ini unik, tersendiri dan hakikatnya agak berlainan daripada kategori filem- filem peperangan sebelum ini.
Filem ini mempersoalkan tentang prinsip perjuangan. Adakah perjuangan itu berbaloi sehingga anda sanggup mengorbankan darah dan daging adik anda sendiri semata- mata mahu memerdekakan tanah air anda?
Ini adalah sebuah filem yang kulabelkan sebagai sebuah ' masterpiece ' kerana sifat atau prinsip universalnya. Apa lagi yang anda perlukan dalam sebuah filem jika semua ramuannya sudah ada; lakonan hebat dari kesemua pendukung watak. Visual sinematografi yang menarik dan paling penting keaslian ceritanya.
Sesungguhnya, pengarah filem ini dikecam hebat kerana sedangkan dia berbangsa Inggeris mengarah pula sebuah filem yang berantikan negaranya Britain, sehinggakan dia dikritik sebagai pengkhianat negaranya. Sebalik kontroversi filem ini, ini adalah sebuah filem yang aku sifatkan sama penting dengan beberapa filem yang lain seperti Saving Private Ryan, The Thin Red Line, Platoon. Dan, aksi - aksi kekejaman ( sambil Jimi menutup mata) dalam filem ini bolehlah aku samakan dengan filem Dancer In The Dark yang dibintangi Bjork.

Ini adalah beberapa kesimpulan yang diperoleh setelah menonton filem ini:
1. Cillian Murphy bakal menjadi sebuah lagi bintang Eropah yang terkenal seperti Jude Law, Michael Caigne. Trust me, dia bakal dianugerahkan anugerah Oscar suatu hari nanti.
2. Teori Jimi, hanya dua kerjaya yang dilihat mampu mengubah dunia kearah yang lebih baik. Doktor dan guru. Sudah banyak contoh yang aku lihat doktor yang tidak tahan kepada kekejaman dunia melibatkan diri dalam politik kerana mahu membantu masyarakat. Lihat sahaja filem The Motorcycle Diaries, Dr. Patch Adams. Dan, begitu juga kerjaya guru dengan Dead Poets Society, To Sir With Love. Benarkah teori JIMI ini?
3. Sememangnya filem ini layak dianugerahi Filem Terbaik di Cannes, kerana melalui filem ini terserlah prinsip yang sebetulnya manusia sentiasa suka mencari kesalahan tanpa merenung kesilapan kita sendiri. Kenyataan ini memang sesuai kepada negara- negara yang suka berperang atas nama kebodohan tanpa mahu meminta maaf seperti Jepun, Britain, Israel dan kerajaan Amerika yang sangat bangsat.
Labels: filem