Anda kenal dengan nama Bernard Chauly?. Dialah yang membawa Gol dan Gincu ke sinema Malaysia pada tahun lalu. Dia juga adalah pengarah bagi kebanyakan episod 3R, iklan-iklan komersil dan paling aku ingat dia juga pernah mengarah klip video Siti Nurhaliza yang unik. Alah, the one that had Nicholas Saputra tu. Debaran Cinta.
Kukira dan ku sifatkan Bernard adalah sutdradara aliran baru Malaysia. Sepertimana sutradara-sutradara baru yang lainnya. Anda mungkin boleh membanding bezakan bagaimana gaya mereka bercerita melalui naskah filem - filem mereka.
Kata Bernard, beliau terpanggil untuk menulis cerita ini dan seterusnya mengarahkan filem ini kerana sebahagiannya adalah dicedok melalui pengalamannya ketika beliau remaja dulu. Pengalaman pahit manis beliau itu diambil sedikit sebanyak dan ditambah fiksyen dan novella secukup rasa.
Kejujuran dan keberanian
Aku kira juga, filem ini ada nilai kejujuran yang ingin diceritakan. Malah filem ini juga ada keberanian. Keberanian dalam menawarkan kelainan dalam mempelbagaikan genre yang sudah ada di sinema Malaysia. Maka keberanian itu ditampilkan dengan naratif dan halwa yang berbeza.
Filem ini tidak ditayangkan di pawagam di Malaysia . Maka, jika anda mahu menontonnya, belilah di mana-mana kedai cd. Untuk informasi anda, filem ini terpilih untuk menyertai Festival Filem Antarabangsa Tokyo 2006 di bawah kategori Winds of Asia Official Selection.
Kisahnya
Lapan budak remaja. Lima Hari. 100 kilometer. Kisah sekumpulan remaja menjalani satu ekspedisi pengakap, Dalam ekspedisi tersebut mereka harus berjalan kaki sejauh 100 kilometer, dan jika anda tidak tahu, berjalan kaki sejauh 100 kilometer itu adalah syarat kelayakanKing Scouts , satu darjah yang diidamkan dalam persatuan pengakap.
Maka terjadilah kisah pengembaraan gembira dan sedih, pergolakan perasaan remaja yang menghantui kisah peribadi masing-masing. Masing-masing juga mempunyai kisah yang diceritakan dan masalah yang tersendiri. Kisah remaja yang kadangkala agak remeh, tapi pada saat itu seperti kita semua juga yang pernah berada dalam alam remaja, menganggapnya sebagai satu pembuka pintu ke alam kedewasaan.
Keputusannya
Aku pun tidak pandai nak mengulas daripada sudut pengkritik yang berilmiah. Seperti A. Wahab Hamzah atau Ku Seman. Wajarnya jugalah aku hanya bercerita apa yang disukai dan sebaliknya. Aspek pertama yang memukau aku ketika menonton filem ini adalah kesungguhan Bernard Chauly dan krewnya dalam merealisasikan realiti filem ini. Filem ini secara langsungnya di latarkan di kota kepergian Ipoh, yang terkenal dengan sejarah lombong bijihnya. Perhatikan kesungguhan mengambil shot-shot di Lembah Kinta yang terdiri daripada tinggalan lombong-lombong bijih.
Bernard yang dibesarkan zaman remajanya di Ipoh seperti membuat refleksi kenangan hidupnya barangkali. Kisah remaja yang seperti selalunya dalam pencarian identiti dan imej diri, kisah cinta monyet mereka, keegoan dan kebuntuan memilih masa depan mereka dirangkumkan sekali supaya pengembaraan ini bukan setakat untuk memperoleh pingat Scout tetapi pengambaraan seumur hidup yang sudah merubah persepsi mereka tentang hidup.
Watak- watak yang dilhamkan cukup menarik. Penceritaan sikap dan watak mereka diceritakan di awal filem ini seperti slot drama bersiri yang biasa kita tonton. Kalau anda nak tahu inilah gaya Bernard yang biasa aku tonton dalam episod 3R nya.
Selain itu, yang menarik minat aku ialah gaya Bernard yang meletakkan prolog adegan Jin lemas di dalam lombong sebagai permulaan ceritanya. Aku tidak pernah menonton filem Malaysia yang memulakan filem dengan cara ini. Denga mengambil shot di dalam air hingga ke permukaannya mengingatkan aku kepada filem yang kuminati IRIS.
Sutradara- sutradara Malaysia seperti Bernard rajin menjadikan runut bunyi filem- filem mereka menjadi lebih bermakna, puitis dan tersendiri agak berbeza dengan tipikal filem- filem Malaysia yang lain. Susunan bunyi disusun dengan kemas dan sungguhpun aku tidak menontonnya di sinema, terkesan juga perasaan cemas, sedih dan sebagainya.
Satu perkara yang menarik tentang filem ini ialah kesederhanaan dalam mengolah gaya lakonan watak- watak dalam filem. Tentu sahaja ia dilakukan dengan tidak secara latihan yang keterlaluan, tetapi lebih kepada kesahajaan.
Watak- watak yang ada di dalam filem ini sangat menarik, tetapi malangnya aku pun tidak berapa mendalami kisah- kisah peribadi mereka yang kadangkala didetailkan terlalu pantas dan agak mengejut. Kelemahan yang kedua ialah terdapat beberapa adegan yang agak dry dan klimaksnya juga agak lemah. Mungkin kerana dialog yang lemah diungkapkan oleh pelakon- pelakon baru dan amatur ini.
Secara teknikalnya pula, filem ini menampilkan shot atau bahasa visual yang tersendiri. Cantik tetapi tidak sama cantik sinematografinya dengan filem Asean yang lain. Aku membezakan filem- filem Asean cantiknya kerana visual filem mereka kerana filem mereka mengkehendaki lokasi yang cantik.Cukup dengan segala permainan warnanya. Tetapi, dalam filem Bernard kecantikan visualnya tersendiri dan digayakan dengan cara yang berlainan. Apalah yang aku merepek ini. Hanya aku seorang sahaja yang faham, barangkali.
Apa yang gagalnya filem ini adalah, plot- plot yang tidak berkembang dengan baik. Ada potensi untuk mengembangkan watak- watak remaja ini dengan lebih baik, seperti konflik budak gemuk dan budak lembut itu. Malangnya, tumpuan hanya diberikan kepada watak Ivan dan Jin.
Sungguhpun demikian, filem ini mempunyai tarikan yang lain. Tarikan yang berbeda daripada filem Gol dan Gincu. Filem ini menceritakan perspektif cabaran, ego, pemikiran dan perasaan dalam dunia lelaki tidak seperti dalam Gol dan Gincu.
Adalah satu perkembangan menarik melihat sutradara- sutradara aliran baru di Malaysia ini begitu berani dan kreatif dalam mengolah budaya pembikinan dan penceritaan filem yang tersendiri.
Sesungguhnya, kalau ada sepuluh lagi sutradara sebegini seperti Yuhong, James Lee, Chauly dan lain-lainnya, mungkin kita boleh merubah budaya seni perfileman sekarang yang tampak murah, segera dan berkuantiti tetapi kosong dari segi mutunya. 5 perkara menarik dalam filem ini
1. Pencerita filem ini bukanlah hero dalam filem ini. Dan ianya mengingatkan aku kepada filem The Shawshank Redemption. 2. Shot yang diambil adalah berdasarkan lokasi yang benar seperti lokasi di Kampar, Tanjung Tualang dan Ipoh. Aku kan budak Ipoh. 3. Lagu tema filem ini menarik dan catchy. 4. Shot di kapal korek adalah paling cantik dan menarik. Perhatikan bila senja berakhir dan malam tiba. 5. Bukan setakat gadis juga bercemburu, lelaki pun cemburu mengalahkan perempuan.
P/S Jimi pernah ditawarkan memasuki sekolah yang bersejarah ini, St Michael selepas UPSR dahulu
Labels: filem |