|
Friday, July 03, 2009 |
|
Van Hijau Itu
|
Pernah atau tidak masa kalian bersekolah dahulu, didatangi van hijau ini? Aku ingat. Pastinya. Kedatangan van hijau ini sangat mengujakan, bukan? Yang membawa air minuman yang enak dan lazat, digemari oleh kita semua. Secawan milo yang dingin, rasanya pekat lain benar kalau dibancuh di rumah. Mungkin resipinya syarikatnya sahaja yang tahu rahsia yang menjadikannya begitu enak sekali.
Kini setelah bergelar seorang guru, rasa tumpang seronok melihat anak-anak kecil ini yang TERUJA pula mahu menikmati air Milo ini. Lihatlah, masing-masing sibuk berebut-rebut mahu menikmatinya.
 Tapi sayang, hanya secawan sahaja mampu disisip. Tapi keseronokan dapat menikmatinya secara percuma sungguh menyeronokkan anak-anak kecil ini. Oh ya, bukan anak-anak kecil sahaja yang teruja mahu menikmatinya, guru-guru juga mahu menumpang sekaki meskipun mampu membeli berkotak-kotak di pasar raya, bukan?.  Untuk guru-guru, dua jag kosong diberikan. Cukuplah untuk kami guru sekolah kampung yang berjumlah 10 orang sahaja. Campur penjaga keselamatan, guru besar, dan seorang kerani dan mak cik kantin yang suka menyibuk tu. Dapatlah segelas juga. Tapi, percayalah acara ini pasti menjadi bualan anak-anak kecil lagi, sekurang-kurangnya untuk 2 3 hari selepas itu, sehingga tahun hadapan datang lagi van hijau yang comel itu. |
posted
by jimi wiser @ Friday, July 03, 2009


|
|
|
|
Monday, June 29, 2009 |
|
Kejantanan
|
Seperti ibu bapa, kami guru memang sentiasa teruja menantikan keputusan peperiksaan anak murid kami. Bayangkanlah, aku jadi tidak karuan malah tidak lena semalaman tahun lalu menantikan keputusan peperiksaan UPSR anak-anak murid aku.
Kadangkala tidak keterlaluan dikatakan, guru-guru yang lebih teruja mahu mengetahui keputusannya. Ada yang tidak menduga murid yang sangat lemah boleh mencapai keputusan yang tidak mendugakan pada akhirnya. Ada juga anak murid harapan sekolah boleh jatuh tersungkur pada akhirnya.
Di sini, guru-guru harus berhati-hati supaya tidak menyumpah seranah murid-murid yang kita fikirkan masa depan mereka gelap hanya berdasarkan sehelai kertas keputusan sahaja. Manalah tahu,bekas anak murid ini berjaya bukan dalam bidang pelajaran, tetapi dalam bidang lain, mungkin satu hari mereka juga yang akan mendoakan kesejahteraan dan keberkatan usaha dan tenaga seorang guru.
Pagi ini kami sudah dapat mengetahui keputusan peperiksaan pertengahan tahun bagi setiap kelas. Aku sibuk berbual dengan guru - guru yang lain. Yelah, sibuk menduga dan menjangka murid-murid yang boleh merealisasikan jangkaan kita.
" Cikgu Jimi tau tak yang tahun ni kita ada keputusan yang sangat mengejutkan dan mengujakan " beritahu Cikgu Ju.
" Apa dia, kak? " tanyaku dengan ghairahnya.
" Kita selama ni tahu kan budak pompuan yang selalu dapat nombor satu sampailah dah tak de prospek budak lelaki yang boleh lawan kan? "
" Tapi tahun ni budak-budak Tahun Satu, percaya tak budak lelaki yang dapat nombor satu sampai nombor lima " Cikgu Ju menjelas lagi.c
" La, ye ke kak Ju ?, bestnya " Jeritku seperti tidak percaya.
" Hah, ni ha nombor satu Aiman Aidil, Nombor dua Badrul Mukmin, Nombor tiga Amirullah, Nombor empat Azwan Huzaimin, nombor lima Shahril Amin, dan nombor enam barulah Nor Nabilah " Cikgu Ju membaca slip keputusan dengan kuatnya penuh bersemangat.
Kenyataan. Semenjak aku menjadi seorang guru, adalah amat jarang menemui spesis pelajar lelaki yang mendahului dalam keputusan akademik terutamanya yang mendahului dalam kelas dengan nombor yang paling atas. Maka, tidak hairan kalaulah yang melambak di universiti banyaknya yang perempuan, bukan?
Jadi, logiklah kalau aku agak terkejut dengan keputusan itu. Lagipun, dah lama tak dengar nama lelaki yang menggondol tempat pertama. Bukan setakat tempat pertama sahaja, habis dibolot sampai ke nombor lima oleh murid lelaki.
“ Wah, bestlah budak tahun satu tahun ni akak. Mereka berjaya membuktikan KEJANTANAN mereka lah. “ jawab aku selamba.
Cikgu Ju dan guru-guru lain mengilai ketawa mendengar jenaka aku. Yalah daripada sibuk mendengar kejantanan merempit di tengah jalan, bukan? Labels: cikgu Jimi |
posted
by jimi wiser @ Monday, June 29, 2009


|
|
|
|
Sunday, June 21, 2009 |
|
Lepat Pisang Amirul
|
" Amirul nak balik dah ke? "
Tanyaku kepadanya. Aku melihatnya sedang menunggu neneknya mengambilnya untuk pulang. Amirul hanya mengangguk sahaja. Menjawab pertanyaan aku.
Amirul ialah anak yatim kematian ayahnya baru-baru ini yang ceritanya telah ku tulis di blog ini. Nasibnya lebih malang kerana dia seorang murid kurang upaya yang tidak mampu berjalan pantas. Kakinya cacat sebelah, yang sentiasa berjalan perlahan - perlahan.
Baru-baru ini guru kelasnya merungut kerana Amirul suka mencarut dan mengejek kawan-kawannya. Kadangkala diludah air liurnya kepada kawan-kawannya. Satu persatu murid-murid mengadu kepada guru disiplin dan guru kelasnya.
" Ya allah, bagilah saya kekuatan melayan karenah anak yatim yang seorang ni. " Mengeluh cikgu Norafizah setelah masuk ke dalam bilik guru, sesudah mengadu hal Amirul.
" Hari itu lagi dahsyat cikgu, dia boleh siap ejek neneknya, dia cakap apa tau… "
" Hei,orang tua, kamu ke mari sini "
Kami guru lelaki gelak besar tatkala mendengarnya, kerana kami tahu Amirul hanya mengajuk cerita-cerita klasik hitam putih Tan Sri P. Ramlee. Sungguhpun demikian, aku akui ejekan itu sangat membahayakan emosi jiwanya.
Amirul sebenarnya mahu melepaskan perasaan geram, marah dan lara hatinya. Fizikalnya, dia seorang kanak-kanak yang lemah, lantaran dia tidak mampu dan tidak dapat berlari apatah lagi mahu berjalan pantas. Kasihan memang kasihan. Tetapi, perangai dan kelakuannya memang menjengkelkan.
Aku tanya Amirul sekali lagi.
" Amirul nak balik dah ke ? "
" Mari cikgu angkatkan beg Amirul ya "
Beg sekolah Amirul memang tidak pernah dipikul Amirul. Selalunya setiap pagi ibunya akan membawa begnya dan meletakkan di dalam kelas. Pada waktu balik samada kawan sekelasnya atau neneknya yang mengangkatkannya.
Tetapi, kadangkala aku sentiasa mengangkat beg Amirul dan menyerahkan kepada neneknya. Itu sahaja yang aku buat bila aku ada kelapangan. Itupun sekali seminggu kerana aku mengajar di kelasnya pada waktu terakhir.
" Apa dalam plastik tu. Sedapnya kuih tu? " Aku bertanya.
" Kuih lepat, cikgu. Nenek kami yang buatkan pagi tadi. Tadi kami tak larat habiskan. Banyak sangat nenek masukkan " . Airil menjawab soalan aku.
" Cikgu nak? Ambillah cikgu, kami bagi " Amirul tiba-tiba berkata.
" Eh, takpe, cikgu tanya je lah " aku menjawab.
" Alah cikgu ambil je, kami dah kenyang " Amirul memujuk.
" Ok, cikgu ambil. Terima kasih ya. " Aku mengalah lalu mengucapkan terima kasih.
Aku mengangkat begnya yang berat dan menyerahkan kepada neneknya yang sudah menunggu dengan motorsikalnya.
Sepanjang aku mengajarnya, ironinya aku tidak pernah mempunyai masalah dengan perangai Amirul yang dikatakan keterlaluan oleh cikgu-cikgu yang lain. Mungkin sahaja sebab aku ini seorang guru lelaki, Amirul tidak berani membuat perangai kerana aku seorang guru yang tegas.
Seingat aku, ibu aku yang juga merupakan bekas seorang guru pernah menasihati aku, jika ada anak yatim atau anak yatim piatu selalulah mengusap belakang kepalanya sambil berdoa di dalam hati supaya Allah taala mengampunkan dosa- dosa kita dan dosa-dosa keluarganya.
Aku sentiasa mengusap belakang kepala Amirul dan aku selalu mengangkat begnya meskipun aku boleh sahaja menyuruh anak-anak murid yang lain tolong mengangkatnya.
" Hai, saya guru kelas dia pun tak pernah dapat apa - apa pun daripada Amirul, inikan cikgu Jimi dapat pulak lepat yang dibuat neneknya, alahai bertuahnya badan. " Kata Cikgu Norafizah apabila aku menceritakan tentang lepat pisang yang aku dapat.
Aku tersenyum sahaja. Barangkali berkat nasihat mak aku. Dalam hati berbisik, " mudah-mudahan Allah mengampunkan dosa-dosa aku dan dosa-dosa keluarga Amirul yang lalu. "
Kalian jika ketemu kanak-kanak yatim, lakukanlah sepertimana yang ku lakukan ya. Inshaallah hatinya sejuk melihat senyuman dan merasai belaian kita. Belailah dengan penuh kasih sayang dan penuh simpati. Kasih sayangnya lebih manis daripada kuih lepat pisang.
 Labels: cikgu Jimi |
posted
by jimi wiser @ Sunday, June 21, 2009


|
|
|
|
Sunday, June 14, 2009 |
|
Satu Rindu
|

Majlis ijab dan kabul tinggal beberapa minit sahaja lagi. Semua mata menyoroti susuk tubuh aku yang memakai baju serba putih. Air wuduk aku ambil buat kali keduanya. Debaran sungguh kian memuncak dalam isi hati aku.Perasaan yang berbaur tercipta seluruh mengisi saluran adrenalin setiap susuk jiwa aku. " Sebelum majlis bermula, salam dengan mak dan abah dulu ya. Mintak maaf pada mak dan ayah ya " kata ibu saudara aku. Aku hanya mampu mengangguk. Mengetap bibir yang menahan sebak dan terharu. Memandang wajah ayah dan ibu yang sudah tidak hidup bersama-sama. Tetapi sama-sama hadir menyokong emosi aku. Pada abah yang kusimpan seluruh dendam kasih benci dan sayang aku. Mampukah aku leraikan segalanya. Aku salam tangan dan mengucup tangannya. Maafkan orang atas segala isi hati yang terdetik dalam hati orang abah. Berjalan perlahan menuju ibu, aku lihat ibu sudah menitiskan air mata. Saat aku mahu mencium tangan ibuku, aku sudah tidak mampu menahan air mataku. Aku cium pipi ibu kanan dan kiri dengan sesungguh hati aku. " Mak, orang mintak maaf maaf. Ampun atas segala apa yang orang buat "
" Halalkan segala apa yang mak berikan"
" Terima kasih mak atas apa yang mak bagi kat orang "
" Doakan orang hidup bahagia, mak"
" Orang janji orang jaga mak walau sudah beristeri, orang janji "Sudah tentu itu isi hati yang tidak aku luahkan secara lafaznya. Hanya air mata yang mampu kuuraikan. Linangan air mata ibu yang panas itu menyejukkan hati aku. Mak yang menitiskan air mata tatkala aku keluar dari dewan saat aku menerima ijazah aku. Mak yang menitiskan air mata tatkala aku mendapat slip SPM yang terbaik. Dan, kini saat mak melihat aku bakal menamatkan zaman bujang aku. " Mak, doakan orang mak…bahagia selalu ".Seminggu selepas majlis perkahwinan aku. Adik aku bercerita " Ko tau tak, mak menangis bila kamu keluarkan barang-barang dari bilik kamu ke rumah baru kamu. Mak menangis bila lori datang bawa barang-barang kamu dulu. Kata mak, anak mak sorang lagi dah kahwin, anak mak yang akhir sekali kahwin "
Aku hanya mengetap bibir aku menahan sebak. Sungguh, lain benar rasanya. Dulu aku hanya memerhatikan sahaja ibuku menangis setiap kali along, angah keluar setelah bertukar status sebagai suami orang. Kali ini giliran aku, ibuku menangis. Mudah-mudahan mak jadi hamba allah yang diredhai dan diberkati kerana jasa mak membesarkan anak-anak mak. Satu Rindu Opick Featuring Amanda ~ kiri - save as ~
Hujan
Kau ingatkan aku Tentang satu rindu Di masa yang lalu Saat mimpi masih indah bersamamu Terbayang satu wajah penuh cinta, penuh kasih, Terbayang satu wajah penuh dengan kehangatan Kau ibu Oh Ibu Allah Ijinkanlah aku bahagiakan dia Meski dia tak tau Biarkanlah aku berarti untuk dirinya Oh Ibu Labels: mellow jimi |
posted
by jimi wiser @ Sunday, June 14, 2009


|
|
|
|
Saturday, May 30, 2009 |
|
Yang Terbaik
|
 Hari ini, selepas beberapa jam lagi, aku akan mengakhiri zaman seorang dan bakal hidup berdua, bertiga berempat. Inshallah.
Sukarnya memilih untuk hidup berumahatanga bagi seorang yang bernama Jimi. Dalam kisah hidupnya, ada susah dan senang, hitam dan putih, cerita – cerita tentang alam kehidupan berumah tangga yang seringkali mengusik jiwa emosi dan menguji kepercayan dan keyakinan pada sebuah institusi perkahwinan. Namun, ini jugalah ketentuanNya.
Seperti manusia lain, aku hanya berserah pada Ilahi jika inilah jalan yang ditentukan olehNya. Seperti juga manusia lain, aku akan terus berusaha menjadi yang lebih baik, sungguhpun yang baik itu bukanlah terbaik bagi orang lain.
Kalian pengunjung blog ini, terima kasih kerana setia membaca. Mudah-mudahan Allah akan memberkati hidup kalian semua. Kalaulah kalian punyai masa sesaat cuma, aku mohon kalian doakanlah kesejahteraan dan kebahagiaan hidup aku dan bakal suri hidup aku. Terima kasih.
Ya Allah Kami menzahirkan diri kami pada hari ini Untuk sama-sama meraikan pembentukan sebuah lagi masjid umatMu Berkatilah, Ya Allah, kehadiran kami ini Semoga berkatMu ini akan menjadi penyubur Pada pembinaan perkahwinan yang penuh dengan mawaddah dan rahmah Ya Allah Ya Rabbana Kami hanya mampu untuk menadah tangan kami kepadaMu Dan memohon kepadaMu dengan penuh munajat Agar apa yang kami pinta ini dimakbulkan Sekiranya pada diri kami ini masih ada kelemahan dan dosa Janganlah, Ya Allah, perkara ini menjadi penghalang pada termakbulnya doa kami Yang terbit dari hati yang ikhlasDan dari jiwa yang sentiasa mengharapkan kebesaran serta keampunanMu Allahumma Kami berdoa agar kedua mempelai ini Akan terus melengkapkan iman mereka Melalui perkahwinan mereka Bekalkan mereka dengan kasih sayang sejati Perasaan belas kasihan yang hakiki Tekad usaha yang tidak mengenal penat Tawakkal kepadaMu yang tidak mengenal pasrah Kesetiaan antara satu sama lain yang tidak mengenal sangsi Ketaatan pada orang-orang tua mereka yang tidak mengenal derhaka Dan yang terpenting Keimanan padaMu yang tidak mengenal ingkar Ya Rahman, Ya Rahim Insafikan mereka berdua ini Bahawa kejayaan perkahwinan mereka Bukan bermula dengan kekayaan Bukan bertapakkan kedudukan Dan bukan bersemarak dengan pujian Insafikan mereka, Ya Allah Sebagaimana juga kami yang lain telah diinsafi Bahawa kebahagiaan perkahwinan mereka Bermula dengan tidak lupa padaMu Dengan sentiasa merindukan kehadiranMu Dan dengan berkekalan mensyukuri nikmat iman anugerahMu Kurniakan kepada mereka berdua Sifat saling kukuh-mengukuh Sebagaimana berlakunya antara Rasulullah SAW dengan Khadijah Kerana sesungguhnya mereka berdua akan melalui perjalanan yang tidak lekang dari diuji Kurnia kepada si isteri kesetiaan kepada suaminya Sebagaimana kesetiaan Zainab binti Muhammad SAW Pengabdian kepada Allah SWT Sebagaimana pengabdian Rabiah Al-Adawiyah Dan iltizam untuk menjadi isteri serta ibu yang solehah Sebagaimana yang ada pada Sumayyah binti Hubbath Kurniakan jua kepada si suam iKebijaksanaan membimbing isterinya ke ambang syurga Dan semoga dia sabar dengan apa pun yang menduganya Sebagaimana Nabi Allah, Ayyub, bersabar dengan ujian terhadap imannya, kesihatannya dan keluarganya Ya Allah Sesungguhnya tidak ada doa yang susah bagiMu untuk makbulkan Bagi kami yang sama-sama menghadiri majlis pada hari ini Insafi juga diri kami supaya kami mampu menjadi contoh yang hidup bagi kedua mempelai ini
|
posted
by jimi wiser @ Saturday, May 30, 2009


|
|
|
|
Friday, May 22, 2009 |
|
Belated Hari Guru
|
Hari Guru masih belum selesai lagi buat aku. Setidak-tidaknya buat aku.
Sangat mengejutkan rasanya. Pada tahun ini bilangan hadiah Hari Guru ialah yang paling banyak diterima. Bukan tidak pernah melarang mereka supaya tidak membelikan hadiah. Aku hanya meminta berikan sahaja Kad Ucapan Hari Guru, tetapi lihatlah.....
Kira- kira semuanya hampir lebih 50 hadiah yang diterima. Antara yang terbanyak sepanjang bergelar guru.
Paling mengharukan hanya menghadiahkan sebatang pen cuma.
Ada juga mencetak kad dengan gambar comelnya sendiri.
Penuh satu ruang di belakang kereta. Berkotak-kotak hadiah dibawa pulang ke rumah aku.
 Sayangnya, aku rasa kegembiraan aku akan berakhir sekiranya aku membuka hadiah demi hadiah serta merta. Maka aku hanya letakkan pada satu sudut, dan aku hanya memerhatikan dengan rasa sebak, terharu dan gembira. Betapa sayangnya aku pada anak-anak aku semuanya. Kad-kad aku tampalkan pada sebuah hadiah paling besar. Hadiah paling besar itu istimewa daripada keluarga Azmil. Hadiah pertama yang aku terima pada tahun ini.
 Semua bertanya bilakah aku mahu membukanya? Mungkin menanti bakal suri bersama-sama membukanya nanti di rumah baruku nanti. Bakal suri aku juga seorang cikgu. Labels: cikgu Jimi |
posted
by jimi wiser @ Friday, May 22, 2009


|
|
|
|
Tuesday, April 28, 2009 |
|
Demi Azmil III
|
 
Tawaran itu hadir bagai memenuhi segala hasrat dan doa yang terhimpun. Doa ibu dan ayah Azmil yang akhirnya termakbul. Begitulah kehidupan. Perjalanan hidup ini indah andai ada kegetiran seketika, namun percayalah kepada setiap apa yang berlaku pasti ada rahmat jua.
Ada orang bilang dan bertanya
" Mengapa perlu membantu sampai sebegitu sekali? Nanti kalau Azmil jadi lebih teruk, cikgu Jimi juga yang dipersalahkan "
Tetapi, seperti biasa aku tepiskan juga apa-apa kata negatif yang membantutkan usaha aku. Niat aku cuma satu sahaja, dan demi Nya yang Esa. Aku percaya diri Azmil masih boleh diselamatkan lagi. Rebungnya boleh dilentur meskipun emosi dan hormon remaja meluap sama- sama naik.
Bukankah kita juga menempuhi alam remaja sedemikian rupa? Rasa marah, sedih dan rajuk emosi yang entah apa-apa. Kalau tidak dibimbing pelajaran dan keluarga ditinggalkan dan akhirnya pengaruh rakan sebaya akan menyesatkan lagi gaya hidup dan pada akhirnya sudah tidak boleh berpatah balik lagi.
Pada akhirnya juga, kesesalannya timbul apabila kau sudak tidak berpelajaran, kau sudah beranak pinak, saat mahu menyekolahkan anak-anak kau, timbul rasa sedemikian hina. Malu dan cemburu dengan kejayaan dan kekayaan orang lain.
" Cikgu percaya Azmil boleh pergi jauh. Jauh dari kampung Azmil ni. Azmil boleh kembangkan bakat sukan, atau Azmil boleh majukan diri dalam pelajaran " " Bila Azmil dah berjaya, Azmil ubah suai rumah ayah dan ibu ni. Ataupun Azmil ajaklah ibu dan ayah duduk sekali "
" Siapa lagi nak bantu ayah, ibu Azmil? Kawan-kawan Azmil yang suka merempit tu? . Tengok rambut ayah tu, kan dah beruban, esok-esok ayah dah tak larat berjalan. Ibu pun dah makin tua. Siapa nak belikan ubat kalau Azmil kerja kontrak buat rumah. Angkat batu, papan. "
" Kalau Azmil janji Azmil belajar dengan baik, sampai bila-bila cikgu jaga Azmil. Sampai Azmil jadi orang pandai. Jadilah ahli sukan kalau itu yang Azmil nak, jadilah jurutera kalau itu yang Azmil mahu. Biar Azmil pandai dan bijak daripada cikgu. Cikgu ni hanya cikgu je. Tapi cikgu tak menyesalpun. Memang cikgu sayangkan anak murid cikgu. Kalau cikgu tak sayang, kenapa pulak cikgu susah-susah nak tolong Azmil, betul tak? "
" Percayalah, bila Azmil dah besar, Azmil akan nampak betapa besarnya dan mulianya pengorbanan ibu dan ayah Azmil "
Panjang lebar nasihat aku kepadanya. Azmil hanya mendiamkan diri. Belum membuat keputusan samada mahu pergi.
Piala dan Pingat
Inilah kali pertama aku masuk ke rumah Azmil. Rumah nan amat sederhana. Dari luar batu batan yang menjadi dinding yang tidak disimen atau dicat dengan sempurnanya seperti rumah-rumah lain. Himpunan botol-botol plastik di luar rumah yang dikumpul ayahnya bersama sebuah mesin mencuci yang seterusnya dijual. Di samping itu, ayahnya juga berniaga meletakkan barang-barang di kedai-kedai runcit dengan van yang disewanya.
" Abang sihat? " tanyaku kepada ayah Azmil memulakan perbualan ketika melabuhkan diri di atas kerusi.
" Sihat, alhamdulilah. Macam nilah cikgu, sibuk dengan kerja. " ujarnya perlahan. Sambil menceritakan perjalanan hidupnya rutin sehariannya.
Satu persatu aku lihat sudut rumahnya. Pastinya yang membuatku tersentuh ialah segala piala dan pingat yang pernah Azmil peroleh sepanjang persekolahannya disusun satu persatu. Pingat yang berbentuk medal dipaku dan digantung dengan rapinya bersebelahan katil Azmil.
Hati aku menjadi sebak tentang impian dan kegemaran Azmil , pernah juga aku bertanya sewaktu dahulu
" Saya cikgu, tak tau nak jadi apa bila besar. Tapi saya nak kerja dalam bidang sukan. Jadi wartawan sukan ke, jurulatih sukan ke, cikgu sukan ke, apa yang penting minat saya tu cikgu.."
" Alah, boleh je Azmil memang mampu. Yang penting mesti sentiasa cari peluang. Dapatkan sijil sukan seberapa banyak. SPM nanti buat betul-betul, sebab SPM tu masa depan kita. pastu kita mintak jurusan Sains Sukan di mana-mana universiti ke, cita-cita Azmil tu tak mustahil sangatlah " Aku memberi nasihat kepadanya.
Ibu dan ayah Azmil mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada aku yang membantu Azmil. Setelah puas memujuk, akhirnya Azmil mengiyakan untuk bertukar sekolah.
Aku selitkan satu sampul yang berisi wang, aku berikan kepada Azmil.
" Ni cikgu beri duit belanja. Tapi wang ni cikgu beri kepada ibu Azmil untuk disimpan. Bila Azmil nak, Azmil mintak pada ibu. "
" Tapi ingat, cikgu tak izinkan duit yang cikgu beri ni beli rokok dan barang yang bukan-bukan. Cikgu tak halalkan dunia dan akhirat. Belilah apa-apa yang Azmil nak. Nasi goreng paprik berpuluh bungkus ke , kalau Azmil nak " aku berkata dengan kadar gurauan akhirnya.
Sepasang kasut bola. Baju dan seluar sukan. Satu persatu Azmil membukanya dengan keriangan bungkusan yang aku berikan. Wajah kegembiraan begitu jelas terserlah.
" Terima kasih cikgu " ucapan yang ringkas daripada mulutnya. Sungguhpun ringkas tetapi sunguh bermakna kerana langkah hidupnya pasti sahaja berbeza dan inshaallah akan dititip dengan keberkatan dan doa yang sentiasa mengiringinya.
Sebulan Sudah Berlalu
Sudah sebulan berlalu. Ini bermakna sudah sebulan Azmil bersekolah di sekolah baru. Hanya sms-sms sahaja yang aku terima daripada ibunya. Tentang Azmil yang setiap petang turun ke padang menjalani latihan bola. Tentang Azmil yang semakin kurus tetapi sudah tinggi lampai. Tentang Azmil yang mengadu disampuk gangguan hantu yang menyebabkan aku tersenyum dan tersengih. Tentang Azmil yang harus menghafal satu surah setiap bulan. Surah Muluk merupakan surah pertama yang dihafalnya. Tentang Azmil yang menjadi imam solat di surau asrama. Tentang Azmil yang kini belajar siang dan malam dan masa dipenuhi dengan keriangan sungguhpun keletihan kerana bangun pukul 5 pagi setiap hari.
Alhamdulillah. Alhamdulilah, Alhamudulilah. Demi Allah, sesungguhnya rahmat engkau begitu besar. Terima kasih kerana telah memakbulkannya.
Abang dan Adik Jimi
Aku tidak dipanggil cikgu Jimi lagi. Ibu dan ayah Azmil kini memanggil aku sekadar nama singkatan aku sahaja. Ibunya menggelarkan aku "abang", anugerah yang diberikan oleh Allah kata mereka buat Azmil yang dipanggil " Adik ". Abang yang dihantar untuk membimbing dan menjaga adiknya sehingga berjaya.
" Percayalah akak, adik tu tak selamanya rapat dengan abang dia ni. Sampai masa dia malu dengan sendiri dan dewasa. Bila dia dah matang dan pandai menjaga nama baik ayah dan ibunya, masa tu saya lepaskan adik saya tu semula " Itulah kata-kata aku kepada ayah dan ibunya.
Sepasang kain berwarna hijau muda untuk aku. Sepasang kain juga untuk bakal isteri aku. Hadiah daripada ayah dan ibu Azmil. Sungguhpun sibuk mengatur hari bahagia aku, aku masih mengunjungi keluarga Azmil. Menyerahkan kad undangan Raja Sehari. Bertanya khabar tentang pelajaran Azmil.
Sungguhpun baru sebulan, aku tidak dapat menyembunyikan kesyukuran aku kerana telah berjaya mengubah haluan hidup bekas anak murid aku. Aku percaya niat dan tujuan aku masih sama, untuk mendidik cuma kali ini aku terpaksa keluar daripada kelaziman seorang guru dengan meninggalkan segala bentuk formaliti seorang guru kepada seorang manusia yang sesama manusia, yang hanya membantu itupun setelah digerakkan oleh diriNya.
Kalian yang setia membaca kisah ini, doakan sahaja supaya ditetapkan hatinya. Tidak berbolak-balik hatinya kerana seseorang itu berjaya bukanlah diukur daripada pelajarannya. Kalian semua mengerti bukan? Ada manusia berjaya dalam pelajaran tetapi masih jauh daripada hidayah Allah dengan hidup bergelandangan dengan lendir dan lanar dosa demi dosa.
Aku mahukan Azmil berjaya dengan pelajaran yang memberikan keberkatan nikmatnya. Azmil tidak lari jauh daripada ibu dan ayahnya. Azmil yang pasti tidak sekali-kali tergelincir daripada agamanya.
Begitulah maha tingginya harapan dan impian aku. Tetapi yang mengubahnya bukanlah aku, bukan? Kalian pasti tahu kita hanya hambaNya sahaja. Justeru, percayalah, bahwa rahmat dan kasih sayang Allah itu sentiasa ada. Tidak pernah kurang walau sedikitpun.
Mengambil petikan buku The Teacher Man sekali lagi, seandainya berpuluh-puluh tahun aku menjadi seorang guru. Seandainya aku hanya berjaya memanusiakan seorang sahaja, cukuplah dan memang sangat berbaloi. Alhamdulillah.
SMS itu
" Homework siap daaah… Adik lepas mandi solat…siap gi sekolah…Doakan adik supaya pandai belajar..ok by "
" Mudah-mudahan Insyaallah. Kita dah buat yang terbaik. Terima kasih sudi hadirkan diri dalam keluarga kami yang tak de apa-apa ni. "
Labels: cikgu Jimi |
posted
by jimi wiser @ Tuesday, April 28, 2009


|
|
|
|
Monday, April 20, 2009 |
|
Demi Azmil II
|
Jika kita bisikkan resah gulana hati kita kepada yang Esa, pasti sahaja Dia mendengar. Rintihan kita sebagai hamba yang hanya dipinjamkan nafas bersifat sementara itu, tetapi kita hanya mampu mengeluh apabila kita ditimpa musibah, sedangkan nikmat yang diberikan itu tidak mampu dihitungkan.
Aku percaya dan yakin, Allah telah gerakkan hati aku untuk berasa kasih dan pilu atas perubahan yang berlaku pada diri Azmil. Aku mencari kekuatan, dan akhirnya memilih untuk menemui ibunya kesekian kalinya.
Sebenarnya, jauh di sudut hati aku malu kerana mahu masuk campur lagi dalam urusan hidup Azmil. Dalam hati aku percaya, aku sudah melakukan yang terbaik semasa dia di alam sekolah rendah. Tetapi, mengapa ya, hal Azmil ini tidak boleh aku pejamkan sebelah mata sahaja.
Mengapa ya? Mungkin sudah 6 tahun aku mendidik di sekolah desa itu, aku kenal benar anak-anak lelaki kampung itu pabila mencecah remaja, memasuki sekolah menengah semuanya menjadi buruk dan hodoh laku dan akhlaknya. Bayangkan aku sebagai guru sekolah rendah hanya mampu memerhatikan sahaja bekas anak murid aku yang hidup berpeleseran membuang masa. Dan, hanya khabar-khabar buruk sahaja yang aku dengan daripada guru-guru di sana.
" Budak-budak lelaki dari kampung tu memang dah teruk. Tak boleh diselamatkan lagi. Bayangkan, kami dah tak boleh kepung budak-budak ni, akhirnya sesiapa yang minat belajar sahajalah yang datang berjumpa cikgu " kata seorang guru sekolah menengah di situ
Shukri, Azizul, Fikri dan Zairil ialah nama-nama bekas anak murid aku di sekolah rendah. Percayalah mereka semuanya baik-baik sahaja semasa belajar bersama aku. Namun, nama-nama ini yang aku dengar kerana kejahatannya. Setakat merokok atau merempit sudah biasa, tetapi merompak rumah di kampung. Menyentuhi dadah, mencuri motosikal dan apalagi ya. Tak sanggup aku panjangkan lagi.
Beginilah anak bangsa aku dan nasib kebodohan mereka.
Tidak, aku mesti keluarkan Azmil daripada kepompong kampung itu. Aku tepiskan perasaan malu aku, dan bertemu sekali lagi ibu Azmil yang bertugas di kedai makan itu.
" Saya ni sebenarnya malu nak jumpa akak. Saya malu menganggu akak dengan kedatangan saya ke sini, tapi saya kena juga berjumpa dengan akak, " kataku kepadanya.
Ku tanyakan perkhabaran Azmil, anak tunggalnya itu. Ku khabarkan cerita-cerita buruk yang aku dengar. Ku ceritakan kisah-kisah yang tidak manis yang kudengari selama ini kepadanya.
" Cikgu ni memang baik hati betul, dah tak mengajar Azmil pun cikgu ambil berat ya, Akak ni malu cikgu, cikgu tolong dia macam-macam tahun lepas, tapi beginilah sudahnya ya. Akak pun tak tau nak cakap apa lagi dah. Susah cikgu, sebab akak ni kerja kadang-kadang sampai malam, kalau ambil upah masak untuk majlis kahwin, kadang-kadang sampai tidur di kedai "
" Akak tahu, Azmil tu dah jadik budak terbiar. Larang macam mana pun dia dengan budak-budak kampung tu, ikut jugak, sebab akak kerja, dia di rumah bosan sorang-sorang "
" Haritu akak dah libas dia semahu-mahunya. Akak jumpa kotak rokok dalam beg sekolah dia. Akak ni orang susah, cikgu, carik duit berbelas ringgit sehari pun susah, inikan dihabiskan duit dengan rokok, akak pukul dia, rotan dia sampai jatuh terduduk Azmil, merayu dan meronta-ronta dia kat ibunya jangan pukul dia lagi, cikgu "
" Kalau dia dah mula merokok, dia akan mula berkawan dengan budak-budak tak senonoh, dan akan jadi penagih macam budak kampung yang lain, macam mana ye cikgu ? "
" Hati akak ni menangis. Anak sudah lah sorang, ni bila la nak sejukkan hati ibunya "
Akhirnya titisan air mata itu meleleh juga. Hati seorang ibu, sudahlah kehilangan seorang anak perempuannya beberapa tahun yang lalu dan kini seorang anak remaja yang kini berada di tengah persimpangan jalan kehidupan. Kepada siapa tuah dan kesenangan hidup mahu diharapkan. Kepada siapa sakit dan malang mahu diandalkan andai Azmil tidak menunaikan tanggungjawab hidupnya sebagai seorang anak.
" Macam ni lah kak, apakata kita keluarkan Azmil dari kampung? "
" Kita masukkan Azmil ke sekolah lain, sekolah asrama? " Aku mengajukan cadangan.
Aku terangkan mengapa Azmil perlu keluar dari lanar dan kekotoran yang sudah terpalit pada dirinya. Aku terangkan mengapa persekitaran positif perlu wujud, dan mengapa teman berdamping yang baik akan mempengaruhi jiwa seorang remaja. Aku jelaskan mengapa kasih dan sayang aku kepada Azmil masih belum padam lagi.
" Kalau cikgu rasa itu jalan baik, buatlah cikgu. Akak dan abang ni orang kampung, tak tahu macam mana nak masukkan dia ke sekolah lain, kalau dia jauh pun lagi baik. Sebab akak pun asyik bekerja saja. " Akhirnya memberikan persetujuan.
Pertemuan itu menerbitkan rasa yang sangat padu. Rasa mahu menolong dan membantu sedaya mampu aku. Aku hubungi kenalan aku dari sekolah-sekolah lain. Aku hubungi beberapa kakitangan di jabatan pelajaran yang aku kenal. Aku berusaha untuk mencari peluang dan kekosongan yang ada.
Prosedurnya begini. Kebiasaannya di sesebuah sekolah berasrama terdapat pelajar yang akan bertukar pada awal tahun kerana telah memilih untuk bersekolah di sekolah yang lebih baik. Jadi, tentu sahaja ada kekosongan yang boleh diisi. Mungkin aku boleh sahaja membuat permohonan.
Tetapi, begitulah pertolongan Allah yang akhirnya menemukan aku dengan seorang rakan yang juga seorang guru. Guru yang bertanggungjawab membawa Azmil ke pemilihan atlet sukan peringkat daerah tahun sebelumnya. Guru yang sangat maklum akan bakat Azmil dalam sukan.
" Budak yang tinggi lampai tu ye? Eh budak tu ada skill main bola tu. Tapi biasalah anak kampung, rendah dirinya tebal. Tapi kalau dilatih boleh jadi bagus." Katanya kepada aku.
Guru itu mencadangkan namanya dibawa sebagai calon untuk Projek Sukan Daerah. Sebuah projek mengumpulkan semua pelajar yang berpotensi dalam sukan, belajar di sebuah sekolah berasrama. Mereka akan dilatih di bawah projek ini dan tetapi pelajaran mereka tidak diabaikan. Sekiranya ada yang cemerlang, tawaran biasiswa akan diberikan kepada yang cemerlang dalam sukan ataupun dalam pelajaran. Sekiranya mereka cemerlang lagi dalam sukan, mereka mungkin memasuki sekolah sukan di peringkat negeri. Malah, jika lebih cemerlang mungkin sahaja memasuki sekolah terkenal melahirkan atlet negara iaitu Sekolah Sukan Bukit Jalil.
Saat aku mendengar tentang tawaran itu, aku pasti benar inilah pertolongan yang Allah berikan kepada aku. Aku segerakan permohonan itu. Dan, aku persiapkan segala butiran dengan segala salinan sijil-sijil yang berkaitan. Aku berdoa saban hari mudah-mudahan Allah perkenankan doa aku.
Pada saat itu juga, hubungan aku dengan keluarga Azmil semakin rapat terutama dengan ibunya. Sms demi sms dikirimkan menanyakan hal diri Azmil. Walaupun Azmil masih lagi tidak mengetahui yang aku sedang berusaha untuk menukarkan arah hidupnya, perkara ini aku rahsiakan dahulu daripada pengetahuannya kerana keputusannya masih belum diterima lagi.
Hari demi hari, aku menunggu dengan debaran. Sehinggalah satu panggilan telefon itu menamatkan penantian itu.
" Cikgu Jimi, tawaran projek sukan SMK XXXX tu dah keluar. Nama anak buah cikgu tu ada dalam senarai pemilihan. Dia dapat. Dan dia dapat atas merit dia sendiri. Dia kan Johan Catur daerah kita tahun lepas. Mungkin bulan depan masuk daftar, surat tawaran akan dihantar selepas ni "
Panggilan itu satu rahmat. Aku tahu inilah berkat kesabaran dan usaha aku tanpa berputus asa membuahkan hasil. Bayangkan, bagaimana jika aku menurut sahaja pendapat seorang guru itu, membiarkan sahaja hal ini. Dan, hanya bertugas sebagai seorang guru yang hanya mengajar di dalam kelas, daripada menyibuk hal keluarga orang katanya.
Alhamdulillah. Allah itu maha Mendengar, itulah tasbih aku di minda aku pada saat ketika itu.
Dan, kini masuklah pula cabaran yang paling sukar. Bagaimana pula mahu memujuk Azmir untuk bertukar sekolah, anak manja yang rapuh jiwa halusnya tetapi keras hati dan degil itu untuk hidup dalam disiplin yang baru ?.
Bolehkah rebung buluh yang masih di peringkat awal ini dilenturkan lagi ?
(akan disambung ke bahagian 3, insyaallah)
Labels: cikgu Jimi |
posted
by jimi wiser @ Monday, April 20, 2009


|
|
|
|
Monday, April 13, 2009 |
|
Demi Azmil (Bahagian 1)
|
Kalaulah insan di dunia ini tahu dan maklum akan makna tidak berputus asa. Kalaulah insan di dunia mengetahui bahawa sesungguhnya Allah itu maha mengetahui dan maha mendengar. Dengan limpah dan kasing sayang Nya, aku mulakan kisah ini… Masih kalian ingat lagikah pada kisah Azmil?. Kisah kasih sayang aku sebagai seorang guru kepadanya? Kalian berkata kisah yang ku tulis itu menyebakkan hati kalian semua. Tetapi, kisah Azmil tidak berakhir setakat di situ sahaja. Setakat aku membiarkan dia pergi meninggalkan alam persekolahan rendah ke alam persekolahan menengah. Ironinya, Allah itu tidak mahu aku melepaskan dirinya begitu sahaja. Allah mahu menguji aku, sejauhmanakah aku sanggup berlengan basah untuk menyelamatkan jiwa Azmil yang hampir lemas di lautan. Pada bulan 11 cuti tahun lalu, saat aku berhempas pulas menyelesaikan masalah peribadi hidup aku. Menghabiskan cuti semester persekolahan 2008 yang menyiksakan, ibu dan ayah aku yang menyelesaikan saki - baki hidup bersama yang tertinggal. Ku kutip bersamanya lanar dan pedih dan kulempar, ku buang sehari demi sehari mengajar aku tabah. Dan, aku lupa ada sebuah jiwa yang telah aku abaikan. Telah aku tinggalkan. Aku ingatkan dia sudah bersedia untuk menghadapi dunia persekolahan menengah dengan tabahnya. Siapa sangka, tuhan telah menduga dirinya menjadi berubah sekelip mata. Awal 2009, desas - desus yang ku dengar mengatakan bekas anak angkat aku, Azmil sudah kehilangan arah. Sudah sesat dalam kehidupannya. Dalam usia baru mencecah 13 tahun, rupa -rupanya sudah tersesat jauh. Begitulah sekiranya jiwa dan dirinya diabaikan, cuti yang panjang itu telah mengubah jiwanya berkawan dan berteman dengan remaja-remaja kampung yang sudah rosak. Rosak dalam makna tidak meminati alam persekolahan. Berpeleseran malam dan siang dengan motor kapcai membuang masa dengan merokok, mengangkat tayar hadapan motosikal mereka atau apa sahaja kebodohan mereka. Dan lagi. Dan lagi. Pelbagai versi kisah buruk Azmil yang aku dengari. " Bekas anak angkat cikgu tu, Azmil bergaduh dengan geng budak cina di sekolah menengah. Dengan geng budak - budak kampung. Tak sedar diri, ayah bilal di surau, anak dah menjadi makin teruk "Aku dengar dan mendengar cerita -cerita orang di telinga. Pedih benar mendengarnya. Mengapa ya? Azmil itu anak orang lain. Bukan ada darah daging apa-apa dengan aku. Bukan sesiapa pun. Arghhh program anak angkat - mento-mentee itu pun sudah berakhir. Azmil pun sudah mendapat 3A 2B dan sudah pun memasuki sekolah menengah. Biarkan. Biarkan dia dengan dunianya. Tetapi mengapa ya. Mengapa Allah sebakkan hati aku?. Meresahkan jiwa aku tatkala aku mendengar semua keburukan Azmil?. Aku menjadi kecewa, kadangkala murung dan tidak bermaya mendengarkan semua itu. Ada sekelumit perasaan yang jauh rasa tersinggung dengan cerita-cerita itu. " Hai, cikgu Jimi, takkanlah cikgu anggap Azmil tu macam anak betul-betul ? " Tanya seorang guru apabila aku menyatakan kesedihan aku dengan perubahan sikap dan kelakuannya. Mustahil aku berpura-pura mengambil berat dan prihatin akan dirinya yang lalu. Mustahil aku melakukannya hanya semata-mata kerana aku mahu gaji aku pada setiap hujung bulan sahaja. Demi Allah, bukan kerana semua itu. " Biarkan dia. Budak-budak lelaki kampung ni memang macam ni. Masuk sekolah menengah dah jadik haprak. Merempit, merokok, melawan cikgu-cikgu di sekolah menengah, pmr dapat teruk, spm nanti lagilah teruk, lepas tu kerjalah setakat kerja-kerja bodoh. Sedangkan bekas murid perempuan kita kental jiwanya, ada yang masuk IPT. " " Cikgu Jimi, kan saya dah kata. Azmil tu akan tetap dipengaruhi dengan rakan kampung dia. Budak-budak lelaki kampung ni memang dah tak boleh diselamatkan lagi " panjang lebar cikgu itu menerangkan kepadaku. Begitukah kesudahannya? Begitukah akhirnya perjuangan aku membela dan mendidik seorang manusia yang rapuh jiwanya seperti Azmil. Bekas juara catur daerah aku?, menjadi satu-satunya atlet sekolah yang layak dalam pemilihan bola sepak negeri Perak bawah 12 tahun ? Ya, Azmil yang aku hadiahkan coklat Crispy setiap kali kertas Pemahamannya tertinggi daripada kawan-kawannya. Azmil yang kuhadiahkan set catur baru kerana memperoleh 100 markah dalam ujian pemahaman. Satu rekod yang belum pernah dipecahkan oleh mana-mana bekas murid aku selama tujuh tahun aku bertugas di sekolah ini. Azmil yang menangis hiba di bahu aku tatkala sedih meninggalkan aku guru sekolah rendahnya pada hari terakhir persekolahannya. Begitukah sudahnya Azmil, anak kampung yang akhirnya terpaksa menyerahkan jiwa rapuh hormon remajanya kepada budaya yang sangat picisan sedangkan aku tahu Azmil boleh pergi jauh melangkah dunia tanpa sempadan, dan menjadi anak kampung yang berjaya. Aku merintih hiba. Dalam hati aku menangis. Menangis semahu-mahunya. Kadangkala lena tidurku diganggu dengan rasa beban yang menikam jiwa aku. Terasa disiat-siat mayang halus hati aku. Akhirnya, mata aku bergenang juga mengenangkan senyuman sengih Azmil yang terkocoh-kocoh mahu menjawab soalan yang aku tanyakan di dalam kelas. Azmil oh Azmil. Mengapa menjadi begitu sekali? Dapatkah aku membayangkan dirinya, bermalam embun malam melepak di kaki lima kampung. Dengan kawan-kawan kampungnya menceritakan tentang babak-babak filem vcd lucah yang ditonton mereka. Atau menceritakan dengan sia-sia hidup mereka yang tidak bertujuan. Akhirnya bila dewasa kerja mengangkat kayu dan simen membuat rumah orang, dengan hanya bermodalkan motor ayahnya meneruskan hidup menjadi Melayu yang sia-sia. Yang akhirnya beranak-pinak keturunan mereka dengan kemiskinan persis tidak mahu mengubah nasib dengan pelajaran. Mengulangi kitaran kehidupan yang sebegitu. Ya, kitar kehidupan anak kampung yang begitu klise. Terbiar bukan kerana kemiskinan alami, tetapi kemiskinan akibat tersilap memilih kawan, memilih hitam daripada putih. Inilah kebodohan orang Melayu. Yang mengabaikan pelajaran dan pendidikan walhal itulah jalan keluar dirimu Azmil. Azmil, sedarilah ayah kamu hanya bekerja mengutip botol-botol kosong, lalu dicuci dan dijual semula? Azmil, sedarilah ibumu hanya kerja mencuci pinggan di restoran? Azmil, sedarlah kamu, arwah kakakmu yang meninggalkan kamu, sebagai satu-satunya harapan tunggal ayah dan ibumu? Aduhai, alahai mengapa budak sebijak kamu wahai Azmil boleh terjebak dengan dunia yang tidak matang ini? Begitulah rintihan aku. Apakah aku akan menuruti dan membiarkan sahaja Azmil menjejaki dunia barunya yang silap dan salah itu? Demi Allah, cikgu Jimi tidak akan membiarkan sekali-kali ianya berlaku. Demi Allah. Biarlah aku masuk dan campur tangan dalam keluarga dan rumahtangga orang demi anak muridku. Demi Azmil. (akan disambung ke bahagian 2, insyaallah)
Labels: cikgu Jimi |
posted
by jimi wiser @ Monday, April 13, 2009


|
|
|
|
Sunday, March 01, 2009 |
|
Mudah - Mudahan
|
Dalam buku Teacher Man, memoir Frank McCourt dalam tulisannya tentang kehidupannya sebagai seorang guru
" I had an English teacher, Miss Smith, who really inspired me. I ‘ ll never forget dear old Miss Smith. She used to say that if she reached one child in her forty years of teaching it would make it all worthwhile. She’ d die happy."
Ironinya, kenyataan itu ku baca berulang-ulang. Bayangkan, dalam 40 tahun pengalamannya sebagai seorang guru, memanusiakan seorang sahaja daripada puluhan malahan ratusan bekas muridnya, adalah sesuatu yang berbaloi.
Ironinya, hidup sebagai guru bukan sekadar di dalam kelas. Bukan juga sekadar menanda merah buku tulisan murid kamu. Bukan juga berleter 10 minit awal kelas kamu. Bukan. Bukan.
Kadangkala, aku seolah-olah seperti "lebih sudu daripada kuah" mencampuri urusan keluarga orang. Demi kerana mahu melihat masa hadapan anak murid aku lebih cerah, aku berbuat demikian sungguhpun mengundang nista dan gelengan kepala orang lain.
Tetapi, demi itu jua. Aku himpunkan seluruh tenaga aku untuk membantu sehabis daya upaya aku.
Sms seorang ibu kepada aku mengenai pertolongan aku
" Akak tak kisah, malah bersyukur dan terima kasih. Ada insan ikhlas membantu. Risau pun ada juga kot, sikit sebanyak ganggu emosi dan kehidupan cikgu. Allah sahaja dapat balasnya segala usaha yang dihulurkan "
" Terima kasih, cikgu mudahan, allah mengubah hati dan jiwanya ke arah yang betul. Terima kasih sekali lagi, cikgu banyak membantu. "
Mudah-mudahan perancangan aku menyelamatkan jiwa seseorang ini berjaya hendaknya. Akan aku khabarkan beritanya sekiranya telah berjaya dalam entri seterusnya. Labels: cikgu Jimi |
posted
by jimi wiser @ Sunday, March 01, 2009


|
|
|
|
Wednesday, February 25, 2009 |
|
Warna - Warna Alam
|
Pernahkah saudara, ketika berada di pantai, merenung jauh pada lautan yang tidak bertepi? Atau ketika mendaki gunung yang tinggi atau berada di pinggir sawah padi menghijau luas, saudara memikirkan mengenai alam ini?
Berfikir mengenai kecantikan alam, keunikan, keharmonian dan kedamaiannya?
Perhatikan juga pada warna-warna alam yang bercampur-campur antara hijau, kuning, biru, merah, kelabu dan hitam yang pendek kata, dengan bermacam-macam yang cukup mempesonakan.
Pernahkah terlintas di fikiran saudara, bagaimana insan seperti saudara yang asalnya dilahirkan sepanjang 6 inci dan buta huruf tetapi kini sudah boleh membaca, menulis dan mengitung? Justeru, dengan kebolehan itu, saudara berupaya membina bangunan yang tinggi-tinggi, gedung-gedung yang indah dan kota-kota besar? Tentu rasanya saudara pernah memikirkan perkara-perkara yang disebutkan ini. Maknanya saudara adalah makhluk ciptaan tuhan yang cukup istimewa.
Kita bukan sahaja boleh merenung dan mengambil iktibar mengenai keindahan alam. Kita juga boleh menggunakan ciptaan tuhan itu untuk menghasilkan sesuatu mengikut cita rasa kita. Ertinya, kita boleh membangun dan mengubahsuai alam tabii ini mengikut cita rasa kita.
Itulah keistimewaan insan secara mudah kita terjemahkan. Manusia adalah satu-satunya makhluk tuhan yang berupaya menyimpan dan mengembangkan ilmu pengetahuan. Kata Aristotle tokoh falsafah Yunani, satu-satunya sifat manusia yang tidak boleh dikongsi dengan haiwan adalah keupayaan mencari ilmu.Manakala seorang ahli sastera dan ahli fisiologi Islam bernama Abu Hilal al Askari berkata,
“ Semenjak kami tahu mengenai kelazatan ilmu, tidak ada lagi kelazatan lain yang dapat menyenangkan kami lagi “
Jika ilmu itu sama penting dengan makan dan minum, maka tentunya pengorbanan dan curahan ilmu para guru juga sama penting dan sama mulia dengan makanan dan minuman. Jika ilmu itu membolehkan kita merenung alam dan mengambil iktibar dari alam, tentulah para guru juga sama pentingnya dengan lakaran alam maya yang kita saksikan ini. Sebab itu, Islam meletakkan taraf guru lebih tingi daripada orang lain.
Jika para ahli sufi menghubungkan ikatan rohani mereka dengan para “ guru mursyid “ mereka dengan “ rabitah syarifah” iaitu ikatan mulia dengan guru, apalah janggalnya jika kita juga menghubungkan ikatan rohani kita dengan para guru kita. Caranya adalah kita mengingati guru kita, menghadiahkan pahala bacaan doa dan kebajikan kepada mereka, mengunjungi mereka.
Amat malang, jika kita kadang-kadang bersua dengan guru sendiri, tetapi menjauhkan diri. Malu untuk menyapa guru. Malu memberitahu kita adalah anak muridnya. Malah, kadang-kadang malu itu muncul kerana kita sudah berjawatan tinggi, sedang guru itu sudah pencen, masih menggunakan kereta lama, kurus, sakit yang rasanya tidak layak disapa lagi.
Tetapi, kita perlu bertanya kepada diri sendiri, jika bukan atas usaha guru itu, di mana kita pada ketika ini?
Daripada buku Cerita-cerita Motivasi untuk Jiwa. Labels: cikgu Jimi |
posted
by jimi wiser @ Wednesday, February 25, 2009


|
|
|
|
Monday, February 23, 2009 |
|
Cikgu Siti
|
Inilah kisah saya pada tahun 1993 yang masih kekal dalam ingatan.
Ada seorang guru wanita di sekolah saya. Ada kisah yang meruntun jiwa tentangnya. Cikgu Siti yang saya kenali memang serius ketika mengajar. Kerap juga dia bercanda dengan kami. Ada masanya, dia akan beri kami duit seringgit kalau dapat jawab kuiz cepu emas yang melucukan. Dulu saya kurang minat dan mahir Bahasa Malaysia tapi kian lama kian mantap.
Saya pernah nampak dia hulur wang RM1 kepada Arifin, kawan sekelas saya yang selalu tak bawa wang ke sekolah. " Makan nasi ya, jangan beli keropok ", ujarnya. Banyak kali juga. Arifin anak yatim. Ibunya meninggal tahun lepas kerana penyakit TB. Walaupun pakaiannya tidak kemas dan sesekali bau hapak, cikgu Siti selalu dakap dan usap rambut Arifin. Kadang-kadang saya nampak dia beri nasihat kepada Arifn supaya jaga kebersihan pakaian dan tubuh badan.
Pagi itu Cikgu Siti masuk ke kelas macam biasa. Tiba-tiba, Arifin muntah. Kami semua panik dan tak kurang juga yang menekup mulut dan hidung. Saya lihat Arifin macam nak pitam. Muka pucatnya menzahirkan dia sakit. Cikgu Siti terus dukung tubuh kurus Arifin dan keluar kelas. Agaknya ke bilik sakit, kami mendesus. Sebelum keluar, sempat cikgu pesan sambung latihan tatabahasa semalam. Kami akur.
Selepas setengah jam, Cikgu pun balik ke kelas. Saya lihat tudung cikgu basah dan ada kesan warna. Bau muntah masih ada. Rupanya di bilik sakit Arifn muntah lagi. Cigu Siti guru PBSM. Tentu dia dah beri rawatan yang berkaitan. Tapi, muka Cikgu tetap manis. Dia senyum. Tak ada pun suara mengomel tudung maniknya berbau busuk. Sesekali dia mengibas-ngibas tudungnya yang lembab supaya cepat kering, andaian ku.
Sesekali bila teringat kepada Cikgu Siti, saya rasa sangat terharu kerana khabarnya Arifin kini seorang business man yang berjaya. Dia tidak lagi memakai sepatu yang koyak seperti ke sekolah suatu masa dulu. Bajunya berjenama. Rambutnya yang dulu tidak bersikat kini disisir rapi.
Ketika kami berjumpa (reunion) setahun lepas, saya masih ingat ucapannya di hadapan pentas.
" Saya tidak akan pernah lupa seorang guru yang berhati luhur memberi saya makan ketika saya lapar sepiring nasi. Saya tidak akan pernah lupa seorang guru yang berhati luhur mendakap mesra tubuh saya yang kurus dengan penuh kasih sayang dan meminta saya memanggilnya ibu. "
" Saya tidak akan lupa raut seorang guru yang memberi saya harta sebesar dunia (ilmu) dan malah membelikan saya sebatang pensel untuk saya tulis. Kecilnya saya yang kehilangan kasih sayang ibu, tetapi besar saya dianugerah Tuhan pula seorang guru. "
Kami mendengar sambil terdiam. Saya pasti sangat-sangat orang yang dimaksudkannya itu.
" Sewaktu saya tidak pengsan kerana gastrik, seorang guru yang selayaknya ibu telah merawat saya dengan penuh kasih sayang dan ambil berat. Dengan kereta buruknya, dia menghantar saya pulang. Saya masih ingat bunyi decit keretanya ketika terlanggar lopak di jalan. "
" Hari ini saya berdiri sebagai seorang usahawan berjaya. Seorang yang berkelulusan master dari universiti tempatan. Berkereta mewah, bergaji besar. Malah, pen yang kutulis juga beratus harganya. "
" Tapi, aku tak pernah lupa kepada bunyi decit kereta buruk cikgu Siti. Aku tak pernah lupa pada bau hanyir muntah yang kulambak di atas pakaiannya. Aku tak pernah lupa dakapan erat cikgu menenangkan aku ketika aku menangis teringat arwah ibu semasa mendapat keputusan UPSR 4A ketika itu. "
Suara Arifn tertahan-tahan. Sesekali ada juga basah kelopak matanya. Ujarnya lagi…. "Andai suatu hari nanti jika kita bertemu lagi, cikgu…. Akan kulafaz terima kasih sebesar dunia. "
Saya tidak dapat menahan air mata mengenang besarnya pengorbanan seorang guru biasa bernama Cikgu Siti Nazura. Demikian pengaruh beliau kepada anak didiknya.
* Saya kini seorang jurutera kanan sebuah syarikat binaan terkemuka di Selangor. Terima kasih, cikgu!
Labels: cikgu Jimi |
posted
by jimi wiser @ Monday, February 23, 2009


|
|
|
|
Sunday, February 22, 2009 |
|
Terima Kasih, Kembali
|
rasa seronok n teruja bl baca blog yg diberi oleh seorang rakan kepada ku... thanks to arbo...=)
http://www.jimi-wiser.blogspot.com/
kalo teringin nak bc g la buka blog tu... semangat utk mnjadi seorang guru makin menebal dlm diriku... mungkin kerana kata2 yang bersahaja oleh cikgu jimi , penulis blog tersebut...
banyak pengalaman n pengajaran yg dapat aku timba dr blog tu... teruja n rasa terharu bl baca cerita murid2 di sekolah cikgu jimi tu... aku mengandaikan cikgu jimi mengajar di sekolah pedalaman... mgkin ke aku juga akan ditugaskan utk mengajar anak2 ini 2 tahun ag??
ikutkan hati.... mmg aku tidak mahu ditugaskan di pedalaman... namun aku tahu...
setiap apa yg telah ditetapkan oleh Allah buat kt .... itu la yg terbaik... Allah juga tahu kt mampu utk menghadapinya... moga2 aku beroleh kesabaran yang menggunung... aku juga akan mula bersedia dr sekarang.... pabila aku menyoroti kisah2 cikgu jimi...
semangat untuk menjadi seorang guru yang baik dan disenangi oleh warga sekolah semakin berkobar2 dalam diriku... Labels: cikgu Jimi |
posted
by jimi wiser @ Sunday, February 22, 2009


|
|
|
|
Thursday, February 12, 2009 |
|
Shahril oh Shahril
|
Assalammualaikum
Shahril di sini sihat sahaja. Pembelajaran Shahril setakat ini boleh sahaja. Terima kasih Shahril ucapkan kerana sudi memberi Shahril sebuah buku, Shahril akan memanfaatkan buku ini sehingga ke akhir hayat.
Cikgu, Shahril akan berusaha untuk belajar bersungguh - sungguh. Terima kasih kerana masih mengingati dan mengambil berat akan diri Shahril. Sudah hampir 3 tahun, dan Shahril bakal menduduki PMR tahun ini. Shahril masih mengingati cikgu walaupun sudah duduk dan tinggal di asrama.
Cikgu, Shahril akan ingat pesanan cikgu. Doakanlah semoga Shahril menjadi seorang yang berjaya. Shahril juga akan mendoakan cikgu aman dan bahagia sampai bila-bila. Sebelum Shahril terlupa, terima kasih kerana turut memberi Shahril wang RM10.00. Jasa cikgu takkan Shahril lupa ke akhir hayat Shahril. Shahril tahu Shahril memang daripada keluarga yang miskin. RM10.00 cukup besar buat Shahril. Terima kasih kerana mengasuh dan mendidik Shahril sepanjang Shahril belajar di sekolah SKXX.
Anak muridmuShahril
Labels: cikgu Jimi |
posted
by jimi wiser @ Thursday, February 12, 2009


|
|
|
|
Wednesday, February 04, 2009 |
|
Kebahagiaan
|
Kadangkala, jauh benar kita mahu mencari kebahagiaan. Kebahagiaan yang kita katakan ada pada seseorang. Jauh, jauh , jauh mendaki dan mengeksplorasi sedangkan kita sendiri tidak mengetahui bahawa kebahagiaan itu sudah ada di depan mata. Ibarat
Memerhati...Senyuman ibu yang manis, menguntum setiap pagi.
Mendengar...Kicauan burung di pepohon yang rimbun, sambil kau ketika itu sibuk menanda buku-buku latihan murid
Berpagi-pagi, meredah jalan larian yang becak, mengeluarkan peluh sambil mendengar bunyi nafas diri yang tercungap-cungap
Memerhatikan orang-orang Cina sudah berpagi-pagi melakukan senaman Tai Chi di gelanggang bola keranjang, sambil mengagumi ketahanan fizikal mereka.
Adapun hidup itu, bukan milik kita yang abadi. Syukurlah kita masih bernafas lagi,Ketahuilah, nafas itu yang kita hirup adalah atas ihsanNya lagi.
Cikgu Maziah, cikgu matematikku dahulu pernah berkata
Kebahagiaan itu satu yang relatif dan subjektif
Ada orang masuk universiti tapi jauh daripada bahagia, hutang keliling pinggang, sungguhpun berumah besar.Tetapi kamu harus sematkan cita-cita kamu ke universiti, sebab kamu masih muda lagi.
Ada orang kahwin, tapi masih jauh daripada kebahagiaan. Hidup berantakan. Bercerai berai. Sedangkan ada yang membujang sampai ke tua, tapi masih mengecapi bahagia. Sungguhpun hanya menumpang kasih anak-anak saudara.
Ada orang banyak anak, tapi tak mampu mengecapi bahagia. Anak-anak menghambakan ibu dan ayah. Anak-anak yang dilahirkan telah menjadi tuan kepada ibu bapanya sendiri.
Ada orang berkahwin, bertahun-tahun tapi masih belum ada cahaya mata, tapi masih mampu mengecapi kebahagiaan, sungguhpun hidup ke tua berdua-dua.
Benarkah BAHAGIA itu letaknya pada kereta mewah yang kau miliki? Benarkah BAHAGIA itu letaknya pada ijazah demi ijazah lanjutan? Benarkah BAHAGIA itu letaknya pada kerjaya korporat, menghimpun jumlah jutaan K saban tahun.
Tetapi, mengapa masih ada orang bahagia ya. Bahagia yang tersendiri, mendap mendalam sanubari. Ya, orang itu masih bahagia ketika kita menyusuri jalanan kampung. Ayah dan ibu berpetang-petang di tangga rumah, dengan gelak tawa bersama anak-anak. Sungguhpun reput tiang seri rumahnya, sungguhpun rumah ibarat teratak usang.
Tetapi, kan. Senyuman itu. Ketawa itu sungguh bahagia sekali. Ikhlas lahir daripada lubuk hati mereka. Mereka sungguh-sungguh bahagia.
 Labels: nurani |
posted
by jimi wiser @ Wednesday, February 04, 2009


|
|
|
|
|